Khamis, 11 Februari 2021 | 2:42pm
Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni selepas duduki ranking pertama dunia acara pecut.
Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni selepas duduki ranking pertama dunia acara pecut.

Azizulhasni layak digelar 'Raja Pecut Dunia'

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang yang mengungguli kedudukan teratas ranking dunia bagi acara pecut individu.

Dalam entrinya di laman Facebook hari ini, Muhyiddin turut menegaskan betapa Azizulhasni yang terkenal dengan julukan 'The Pocket Rocketman' layak digelar sebagai 'Raja Pecut Dunia'.

Malah, beliau berharap kejayaan itu mampu menjadi tonik kepada Azizulhasni untuk melakar kejayaan lebih gemilang di Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

"Kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang mengungguli ranking dunia acara pecut individu adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan negara," kata Muhyiddin.

"Kejayaan terbaru ini, beliau yang terkenal dengan julukan 'The Pocket Rocketman' selayaknya dipanggil Raja Pecut Dunia.

"Kejayaan ini melengkapkan lagi diari gemilang arena sukan negara selepas kejayaan bekas Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, awal bulan ini.

"Saya dan seluruh peminat sukan tanah air, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Azizulhasni. Semoga kejayaan beliau ini akan menjadi inspirasi kepada atlet muda serta seluruh peminat sukan berbasikal dalam mengejar cita-cita mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.

Kepada Azizulhasni, jadikanlah kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk beraksi lebih cemerlang dalam Sukan Olimpik Tokyo akan datang.

"Syabas Azizulhasni!. Anda kebanggaan negara."

Berdasarkan ranking terkini dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) semalam, pelumba berasal dari Terengganu itu berada di kedudukan teratas dengan 1,600 mata.

Pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya berada di tangga kedua dengan 1,442.5 mata manakala Sam Webster dari New Zealand yang mengumpul 1,390 mata di kedudukan ketiga.

Bagi acara keirin pula, pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 itu berada di kedudukan kedua apabila mengumpul 1,740 mata di belakang Kevin Quintero dari Colombia yang mengumpul 1,790 mata.

Berita Harian X