X
Rabu, 10 Februari 2021 | 3:13pm
Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman

'Mohon doakan kejayaan saya di Olimpik Tokyo'

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang memohon doa daripada rakyat Malaysia dalam usahanya memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.

Pelumba berusia 33 tahun dan diberikan julukan 'The Pocket Rocketman' itu mendapat tonik terbaik dalam persiapan menghadapi temasya di Tokyo selepas menghuni kedudukan teratas ranking dunia bagi acara pecut individu.

Berdasarkan ranking terkini dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), semalam, pelumba berasal dari Terengganu itu berada di kedudukan teratas dengan 1,600 mata.

Pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya berada di tangga kedua dengan 1,442.5 mata manakala Sam Webster dari New Zealand yang mengumpul 1,390 mata di kedudukan ketiga.

"Saya berasa gembira dengan berita ranking semasa ini. Sudah tentu ia menjadi motivasi untuk saya dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Bagi saya ia juga berita gembira buat arena sukan negara kita, diharap ia sedikit sebanyak menjadi sumber inspirasi buat atlet muda di tanah air.

"Disamping itu, saya juga berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan agar segala persiapan berjalan lancar dan memenangi emas di Sukan Olimpik Tokyo nanti. Insya-Allah," katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya, hari ini.

Bagi acara keirin, pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 itu berada di kedudukan kedua apabila mengumpul 1,740 mata di belakang Kevin Quintero dari Colombia yang mengumpul 1,790 mata.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni di atas pencapaian berkenaan.

"Anda sudah menjadi nombor satu di Malaysia sejak sekian lama...dan kini anda mendapat tempat yang sepatutnya di dunia. Steady Jijoe @AzizulhasniAWANG," kata Reezal menerusi ciapan di Twitter miliknya, hari ini.

Rakan seperjuangan Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang turut layak ke Sukan Olimpik Tokyo kini berada di ranking ke-18 (922.5 mata) bagi acara pecut individu dan ke-37 (635 mata) dalam acara keirin.

Berita Harian X