Rabu, 16 Disember 2020 | 6:05pm
Ketua jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Ketua jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

Persiapan olahraga ke Sukan SEA berdepan cabaran besar

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil mengakui persiapan atlet negara khususnya bagi menghadapi Sukan SEA 2021 di Vietnam akan berdepan cabaran besar susulan pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini.

Katanya, dengan situasi ketika ini, sukar untuk barisan jurulatih membuat perancangan dengan tepat apatah lagi belum ada petanda bila atlet dapat menyertai kejohanan pertama bagi memburu tiket layak ke temasya dwitahunan itu.

"Daripada segi ketepatan perancangan itu, memang terganggu. Sebagai contoh Muhamad Haiqal Hanafi (atlet pecut negara) memerlukan lapan kejohanan bagi mencapai kemuncak prestasinya pada Sukan SEA tetapi sekiranya ada dua sahaja kejohanan yang boleh disertainya sebelum itu, ia pastinya sukar.

"Jadi, perancangan itu berubah-ubah. Jika perancangan itu berubah lebih daripada 50 peratus, ia akan menjadi lebih sukar. Semua perlu dimulakan semula dan ia akan mempengaruhi banyak perkara termasuk motivasi atlet itu sendiri," katanya kepada BH Sukan.

Bagaimanapun, situasi yang melanda ketika ini tidak merencatkan kem olahraga negara untuk tetap meletakkan sasaran pingat emas yang boleh dimenangi pada temasya di Vietnam nanti terhadap atlet dilihat berpotensi.

"Sasaran tetap akan diletakkan, kita akan lihat atlet yang berpotensi. Sama ada ia tepat atau tidak, ia bergantung kepada situasi semasa termasuklah perancangan kejohanan yang dirangka untuk atlet bagi persiapan ke Sukan SEA," kata Manshahar.

Sebagai rekod, skuad olahraga negara menyumbangkan lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Emas diraih menerusi kejayaan Haiqal dalam acara 100 meter, Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki), Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

Berita Harian X