Khamis, 3 Disember 2020 | 10:26pm
EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis memperagakan Piala Ketua Menteri Melaka yang bakal jadi rebutan pada Kejohanan Golf Melaka bersama penganjur dan penaja di Ayer Keroh.
EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis memperagakan Piala Ketua Menteri Melaka yang bakal jadi rebutan pada Kejohanan Golf Melaka bersama penganjur dan penaja di Ayer Keroh.

120 peserta bakal sertai Kejohanan Golf Melaka 2020

AYER KEROH: Seramai 120 peserta bakal mengambil bahagian pada Kejohanan Golf Melaka 2020 di Tiara Melaka Golf & Country Club (Tiara) dan Ayer Keroh Country Club (AKCC) dekat sini, pada 18 dan 19 Disember ini.

Kejohanan amatur ini yang julung kalinya diadakan di negeri ini menyediakan pelbagai hadiah menarik dan membabitkan dua pusingan dengan pemenang gross akan menerima trofi Piala Ketua Menteri.

EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata kejohanan berkenaan dijangka menarik penyertaan daripada ramai pemain golf termasuk luar Melaka.

Katanya, penganjuran kejohanan itu akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi bagi mengekang penularan COVID-19 termasuk meminta semua peserta menjalani saringan.

"Penganjuran kejohanan ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memulihan industri pelancongan menerusi pelancongan sukan," katanya pada pelancaran kejohanan itu di sini, hari ini.

Kejohanan Golf Melaka 2020 dianjurkan oleh Golf Malaysia dan ditaja Sheng Tai International serta mendapat sokongan daripada AKCC dan Tiara selain kerajaan Melaka.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif AKCC, Datuk Wira Ahmad Zaini Mohd Amin; Pengurus Besar Tourism Melaka, Sa'ari Basiron; Ketua Pegawai Kewangan Sheng Tai International, Tyson See dan Pengurus Besar Golf (Malaysia) Publications Sdn Bhd, Andrew Ng.

Sementara itu, Andrew berharap kejohanan berkenaan akan diadakan setiap tahun bagi menyemarakkan lagi sukan golf di negeri ini.

Berita Harian X