Selasa, 1 Disember 2020 | 8:04pm
MSNJ akan beri geran kepada persatuan sukan mengikut gred.
MSNJ akan beri geran kepada persatuan sukan mengikut gred.

Sports Johor, MSNJ jalin kerjasama dengan Universiti Loughborough

KUALA LUMPUR: Sports Johor Sdn Bhd dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dalam usaha untuk memuktamadkan kerjasama bersama universiti terbaik di dunia dalam bidang sains sukan, Universiti Loughborough, United Kingdom.

Langkah itu bukan sahaja dapat membantu memantapkan persiapan kontinjen Johor bagi menghadapi SUKMA XX Johor 2022, malah kerjasama itu berpotensi untuk membantu Johor bagi melahirkan atlet bertaraf dunia dan membangunkan industri sukan serta memacu pembangunan sektor pelancongan sukan.

Ia dengan visi kerajaan negeri menerusi pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad yang menjelaskan untuk menjadikan bidang sukan sebagai industri ekonomi baharu di Johor.

Belanjawan itu menyaksikan sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi membangunkan Johor Sports Masterplan 2030, pelan induk yang akan memberikan hala tuju baharu kepada industri sukan negeri Johor bukan sahaja untuk gaya hidup dan pembangunan atlet semata-mata, tetapi menjadikan sukan sebagai sumber ekonomi baharu kepada negeri itu.

Dalam pada itu, sejumlah RM1 juta turut diperuntukkan bagi Program Profesionalisasi Persatuan Sukan Negeri Johor termasuk pemberian geran MSNJ kepada persatuan sukan negeri mengikut gred yang akan dinilai oleh MSNJ.

Beberapa persatuan sukan negeri menyambut baik inisiatif itu yang disifatkan dapat membantu persatuan untuk lebih berdaya saing dan mempunyai tadbir urus bersistematik, sekali gus merancakkan program sukan negeri Johor dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet muda berkualiti pada masa hadapan.

Presiden Persatuan Olahraga Negeri Johor, Sallehudin Satar berkata pengumuman itu disambut baik pihaknya kerana menjadi titik tolak untuk mengharungi keadaan yang tidak menentu selain memberikan peluang buat anak watan Johor bagi terus memajukan lagi sukan berkenaan.

"Kami menghargai usaha kerajaan negeri yang sentiasa memantau keadaan persatuan-persatuan sukan sehingga kami akan mengecapi kejayaan dalam pelbagai pertandingan khususnya pada temasya Sukan Malaysia akan datang," kata Sallehudin.

Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Johor, Datuk Amran A Rahman pula berkata pengumuman kerajaan negeri itu adalah satu belanjawan yang inklusif dan berharap bantuan dapat diteruskan kepada sukan yang berprestasi tinggi.

"Selain itu, penyelenggaraan prasarana sukan juga perlu diambil kira dan persatuan akan merangka semula pelan tindakan bagi menghadapi sebarang pertandingan khususnya temasya Sukan Malaysia pada 2022 di Johor," kata Amran.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karate Negeri Johor, Chok Kong Yu menyifatkan peruntukkan menerusi belanjawan itu dapat membantu persatuan berkenaan merangka semula perancangan yang tertangguh.

"Tumpuan utama kami sudah pasti persediaan bagi menghadapi Sukan Malaysia yang bakal dilangsungkan pada 2022 dan saya menaruh harapan tinggi kami akan bersedia sepenuhnya," kata Chok.

Selain itu, kerajaan negeri juga turut menyediakan platform untuk rakyat bersukan menerusi penganjuran Karnival Sukan Makmur Xtif Johor yang membabitkan tiga jenis sukan iaitu sukan sepak takraw, badminton dan bola jaring.

Manakala acara seperti XTIF Johor Fun Ride, Fun Run dan Esports juga akan dilaksanakan dibawah JOYDEC di mana kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM 1.98 juta bagi tujuan ini untuk membantu rakyat negeri Johor kekal aktif dengan bersukan.

Gimnasium Rakyat bertaraf antarabangsa juga akan dibina selari dengan titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi melahirkan rakyat Johor yang mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat selain daripada penubuhan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre untuk memperkasa golongan muda di samping RM500,000 diperuntukkan bagi Pangkalan Data Belia Johor.

Berita Harian X