X
Khamis, 19 November 2020 | 8:58pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) menyaksikan MoU kerjasama antara MSN dan 100PLUS di Putrajaya.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) menyaksikan MoU kerjasama antara MSN dan 100PLUS di Putrajaya.

MSN, 100PLUS jalin kerjasama sehingga 2024

PUTRAJAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) dan minuman isotonik nombor satu di Malaysia, 100PLUS terus menjalin kerjasama untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2024.

Menerusi penajaan besar berbentuk wang tunai dan barangan itu, 100PLUS turut dinamakan sebagai penaja eksklusif isotonik rasmi MSN dengan semua atlet yang bernaung di bawahnya akan menerima manfaatnya.

Pengurus Penajaan dan Pengaktifan F&N, Engku Isyamuddin Tuan Losin menjelaskan pihaknya akan terus komited untuk membantu atlet negara dalam memastikan mereka sentiasa bertenaga dan mampu memberikan yang terbaik.

"Atlet negara kita sememangnya amat komited dan gigih menjalani latihan untuk tempoh masa yang panjang bagi meningkatkan kemampuan dan tahap mereka. Ketika pertandingan, atlet berusaha sehabis baik mungkin untuk memburu kejayaan.

"100PLUS adalah minuman isotonik paling sesuai untuk membantu mereka menghidrasi dan memulih semula tahap kecergasan mereka," katanya.

Dalam masa sama, Engku Isyamuddin turut menekankan kepentingan program remaja MSN untuk pembangunan dan perkembangan jangka panjang atlet kebangsaan.

"100PLUS sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha pembangunan terutamanya di peringkat akar umbi dan juga atlet kebangsaan menerusi kerjasama MSN dan KBS. MSN sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan atlet bertaraf dunia dan antarabangsa.

"Sehubungan itu, kami memutuskan untuk terus menyokong usaha MSN. Kami berharap usahasama ini akan diteruskan untuk tahun mendatang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi berkata adalah penting bagi syarikat memberikan sokongan untuk meningkatkan lagi usaha-uasaha pembangunan MSN.

"MSN sentiasa berusaha untuk menarik syarikat menyertai kami bukan hanya kerana kami perlukan penajaan mereka, tetapi lebih penting ialah kami memerlukan sokongan dan untuk mereka turut terbabit dalam usaha kami.

"100PLUS adalah rakan lama dan juga rakan usahasama kami. Mustahil bagi kami untuk tidak bersama 100PLUS. Jadi, kami memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan 100PLUS dengan beberapa perubahan dan pembaikan dalam pakej penajaan," katanya.

Berita Harian X