Khamis, 5 November 2020 | 11:00am
Pemain Sepanyol, Rafael Nadal bersama trofi penghargaan merekodkan kemenangan ke-1,000 selepas aksi pusingan kedua menentang Feliciano Lopez saingan tenis Masters Paris The AccorHotels Arena, Paris. - Foto AFP.
Pemain Sepanyol, Rafael Nadal bersama trofi penghargaan merekodkan kemenangan ke-1,000 selepas aksi pusingan kedua menentang Feliciano Lopez saingan tenis Masters Paris The AccorHotels Arena, Paris. - Foto AFP.

Nadal catat kemenangan ke-1,000

PARIS: Rafael Nadal merekodkan kemenangan ke 1,000 di peringkat jelajah sepanjang kerjayanya sekali gus muncul pemain keempat berjaya mencecah jumlah itu selepas bangkit menewaskan Feliciano Lopez pada pusingan kedua tenis Masters Paris, di sini, semalam.

Juara 20 kali Grand Slam berkenaan kembali ke ibu negara Perancis ini kurang sebulan selepas merangkul kejuaraan ke-13 Roland Garros, dengan mengalahkan rakan senegaranya itu, 4-6, 7-6 (7/5), 6-4.

Nadal yang memenangi aksi pertama Jelajah ATP pada April 2002, adalah pemain keempat dalam senarai sepanjang zaman dengan Jimmy Connors muncul pendahulu menerusi 1,274 kemenangan, lebih 32 berbanding Roger Federer di tempat kedua. Ivan Lendl turut melepasi jumlah 1,000 kemenangan.

Nadal menerima penghargaan bagi meraikan pencapaiannya itu selepas perlawanan di gelanggang Arena Bercy yang hampir kosong dalam saingan diadakan secara tertutup selepas Perancis berdepan gelombang kedua COVID-19 minggu lalu.

Pada usia 34 tahun, beliau yang memburu kejuaraan sulung Masters Paris bakal berdepan Jordan Thompson pada pusingan ketiga selepas pemain Australia itu menewaskan wakil Croatia, Borna Coric 2-6, 6-4, 6-2.

Sekiranya memenangi kejuaraan itu minggu ini, Nadal akan menyamai rekod pencapaian Djokovic menjuarai 36 gelaran Masters.

Keputusan pusingan kedua:

Rafael Nadal (ESP x1) mn Feliciano Lopez (ESP) 4-6, 7-6 (7/5), 6-4

Jordan Thompson (AUS) mn Borna Coric (CRO x15) 2-6, 6-4, 6-2

Alexander Zverev (GER x4) mn Miomir Kecmanovic (SRB) 6-2, 6-2

Adrian Mannarino (FRA) mn Yoshihito Nishioka (JPN) 6-3, 6-7 (5/7), 6-3

Stan Wawrinka (SUI x12) mn Tommy Paul (USA) 4-6, 7-6 (7/3), 6-2

Andrey Rublev (RUS x5) mn Radu Albot (MDA) 6-1, 6-2

Diego Schwartzman (ARG x6) mn Richard Gasquet (FRA) 7-5, 6-3

Alejandro Davidovich Fokina (ESP) mn Benjamin Bonzi (FRA) 6-4, 6-4

Alex de Minaur (AUS x16) mn Lorenzo Sonego (ITA) 6-3, 7-5

Daniil Medvedev (RUS x3) mn Kevin Anderson (RSA) 6-6 (5/2) - tarik diri

Milos Raonic (CAN x10) mn Pierre-Hugues Herbert (FRA) 6-4, 6-4

- AFP

Berita Harian X