Sabtu, 13 Jun 2020 | 8:07pm
Selepas tiga bulan, skuad boling kebangsaan akhirnya mendapat lampu hijau untuk kembali menjalani latihan di Sunway Mega Lanes. - Foto hiasan
Selepas tiga bulan, skuad boling kebangsaan akhirnya mendapat lampu hijau untuk kembali menjalani latihan di Sunway Mega Lanes. - Foto hiasan

Skuad boling kebangsaan mula berlatih Isnin

KUALA LUMPUR: Selepas tiga bulan, skuad boling kebangsaan akhirnya mendapat lampu hijau untuk kembali menjalani latihan di Sunway Mega Lanes bermula Isnin ini.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok bagaimanapun, berkata hanya pemain yang berada dalam di sekitar Lembah Klang perlu melaporkan diri.

"Pemain yang menginap di Casa MSN (Majlis Sukan Negara) Bukit Jalil akan kekal di rumah. Tidak perlu kembali ke Kuala Lumpur sehingga MSN mengeluarkan arahan lanjut kerana CASA dikenakan perintah berkurung (penginapan bagi atlet program Road to Tokyo).

"Hanya pemain yang duduk di sekitar Lembah Klang perlu melaporkan diri," katanya.

Mengikut SOP ditetapkan, pemain elit lelaki dan wanita akan menjalani latihan pada waktu yang berbeza manakala skuad pelapis akan berlatih pada waktu petang bagi mengehadkan jumlah atlet dalam satu masa.

Atlet juga akan menggunakan satu lorong setiap seorang selain menerapkan langkah penjarakan sosial.

"Pasukan teruja dan gembira untuk kembali berlatih. Kami akan mematuhi semua SOP yang ditetapkan termasuklah penjarakan sosial dan protokol kebersihan diri.

"Kami juga berterima kasih terhadap usaja kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk membolehkan sukan bergerak ke hadapan dalam kebiasaan baharu," kata Maradona.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X