Rabu, 13 Mei 2020 | 8:28pm
Noorul sifatkan petugas barisan depan wira dan wirawati sebenar.
Noorul sifatkan petugas barisan depan wira dan wirawati sebenar.

Bekas atlet tabik petugas barisan depan

KUALA LUMPUR: Penghormatan dan ucapan terima kepada petugas barisan depan yang berjuang sepanjang pandemik COVID-19 bukan sahaja datang daripada orang ramai tetapi bekas-bekas atlet yang pernah bergelar wira dan wirawati negara turut tidak ketinggalan merakamkan penghargaan mereka.

Menerusi video yang dimuatnaik Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), bekas-bekas atlet termasuk juara bina badan Mr Asia enam kali berturut-turut, Datuk Malek Noor; juara dunia silat; Zakri Ibrahim, bekas pemain bola sepak; Hashim Mustapha dan bekas ekuin negara, Datuk Kamarudin Abd Ghani turut memberi tabik hormat kepada semua petugas barisan depan.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul A Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang juga bekas atlet olahraga negara mengakui pengorbanan yang dilakukan petugas barisan depan mengalahkan perjuangan mereka dalam mengharumkan nama negara satu ketika dulu.

"Pengorbanan petugas barisan depan mengambil risiko bertugas ketika pandemik COVID-19 jelas mengharukan kami.

"Pengorbanan mereka mengalahkan kami dalam mengharumkan nama negara sebelum ini.

Walaupun berpanas dan berhujan, mereka tidak mengeluh tetapi terus berkhidmat dengan cekal demi kesihatan serta keselamatan rakyat Malaysia.

Terima kasih yang tak terhingga kami ucapkan. Kamulah wira dan wirawati sebenar," katanya.

Noorul juga menasihatkan orang ramai termasuk bekas-bekas atlet supaya mengikut saranan kerajaan supaya kekal duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini.

"Kami berdoa supaya perjuangan kita semua menentang pandemik ini berakhir dengan kemenangan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X