Khamis, 17 Oktober 2019 | 8:39pm
Fatehah (dua dari kanan) dan Anis (kanan) meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2020 di Velodrom Jingcheon National Training Centre, Korea Selatan, petang tadi.
Fatehah (dua dari kanan) dan Anis (kanan) meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2020 di Velodrom Jingcheon National Training Centre, Korea Selatan, petang tadi.

Fatehah-Anis raih gangsa pecut berpasukan

KUALA LUMPUR: Kali pertama bergandingan ternyata membuahkan hasil apabila pelumba wanita berpengalaman, Fatehah Mustapa dan pelumba meningkat naik, Anis Amira Rosidi meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2020 di Velodrom Jingcheon National Training Centre, Korea Selatan, petang tadi.

Dalam perlawanan penentuan pingat gangsa, Fatehah-Anis membuktikan kehebatan apabila mencatatkan 34.792 saat berbanding pasangan Hong Kong, Yeung Cho Yin-Li Yin Yin yang mencatat 34.925s.

"Alhamdulillah saya anggap ini adalah bonus, saya tidak sangka kerana sasaran saya di sini adalah untuk memenangi pingat dalam acara keirin dan juga 500 meter ujian masa individu.

"Pencapaian terbaik saya dalam acara pecut berpasukan juga sudah lama dengan yang terbaik adalah menduduki tempat keempat," kata Fatehah kepada BH Sukan, di sini, hari ini.

Fatehah (kiri) dan Anis meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2020 di Velodrom Jingcheon National Training Centre, Korea Selatan, petang tadi.
Fatehah (kiri) dan Anis meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2020 di Velodrom Jingcheon National Training Centre, Korea Selatan, petang tadi.

Kali terakhir menduduki podium pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia pada 2018 dalam acara 500m ujian masa individu, Kejohanan Berbasikal Trek Asia kali ini adalah medan terakhir bagi Fatehah membuktikan kemampuannya jika mahu kekal sebagai pelumba elit negara.

Terdahulu, gandingan negara itu merekod masa 35.081s untuk berada di tempat ketiga daripada keseluruhan tujuh pasukan bertanding dalam pusingan kelayakan.

Pingat emas dimenangi China yang diwakili Chen Feifei-Zhang Linyin manakala perak diraih pelumba tuan rumah Kim Soohyun-Lee Hyejin yang masing-masing mencatat masa 33.423s dan 34.139s.

Sementara itu skuad pecut berpasukan lelaki yang turun tanpa Azizulhasni Awang, terpaksa akur apabila tewas dalam saingan akhir perebutan pingat gangsa.

Pelumba muda, Mohammad Fariz Haikal Mohd Kadir yang mengisi kekosongan Azizulhasni bergandingan dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis tewas kepada tuan rumah apabila mencatat 45.066s berbanding lawan, 44.920s bagi memenangi gangsa.

Berita Harian X