Khamis, 17 Oktober 2019 | 3:01pm
Azizulhasni masih dengan impiannya untuk memenangi pingat emas bagi acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia ke-40. - Arkib NSTP
Azizulhasni masih dengan impiannya untuk memenangi pingat emas bagi acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia ke-40. - Arkib NSTP

Azizulhasni buru emas di Velodrom Jincheon

KUALA LUMPUR: Biarpun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan jari yang dihadapinya, Azizulhasni Awang masih dengan impiannya untuk memenangi pingat emas bagi acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia ke-40 yang berlangsung esok di Velodrom Perkampungan Atlet Jincheon, Korea Selatan.

Azizulhasni yang kini berada di ranking kedua keirin elit lelaki UCI serta membantu negara berada di kedudukan kelima ranking Olimpik keirin, mengharapkan pingat emas itu nanti akan memberikannya keselesaan untuk memperoleh tempat ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Untuk rekod, hanya tujuh pelumba ranking terbaik keirin akan memperoleh slot automatik ke Tokyo dengan setiap negara yang layak hanya boleh menghantar seorang pelumba.

"Saya tak akan sertai acara pecut berpasukan kerana kecederaan jari saya masih belum pulih sepenuhnya. Setakat ini saya perlu mengubah cara memegang 'handlebar' dan tidak boleh membuat genggaman kuat apa lagi jika mahu jadi pelumba awal untuk pecut berpasukan nanti.

"Sasaran saya masih sama iaitu untuk dapat emas acara keirin dan juga berada di kedudukan podium bagi acara pecut individu. Apa pun saya akan cuba sebaik mungkin kerana ini adalah peluang keemasan bagi saya mengutip mata ke Olimpik," katanya kepada BH.

Pemenang pingat gangsa acara keirin pada Sukan Olimpik 2016 di Rio itu mengalami kecederaan retak pada jari telunjuk di tangan kanannya pada pertengahan bulan lalu apabila jarinya tersangkut dan tercucuk di mata gear sebelum menjalani pembedahan kecil.

Kedudukan The Pocketrocketman itu dalam memburu tempat ke Olimpik bagi acara pecut individu pula masih samar dengan beliau berada di ranking 19 dan negara berada dikedudukan ke-16 dalam pungutan mata acara pecut ke Olimpik. 

Acara pecut dijadual berlangsung pada Ahad ini.

Berita Harian X