KUALA LUMPUR: Peluang sukar tetapi tidak mustahil.
Itulah gambaran yang dinyatakan ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley terhadap peluang pasukan pecut lelaki negara ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.
Dengan mempertaruhkan gandingan pingat perak pada Sukan Asia 2018 di Indonesia - Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis untuk menggalas sandaran negara, Beasley berkata Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korea Selatan yang akan berlangsung bulan depan bakal menjadi penentu kepada peluang negara ke Tokyo.
"Kami akan pastikan peluang itu kekal ada bagi pasukan pecut kita di ACC nanti. Jika kita berjaya menghasilkan persembahan terbaik di sana, kita mampu menghasilkan kemenangan," kata Beasley.
Kali terakhir Malaysia melayakkan diri acara pecut berpasukan adalah pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing yang diwakili Azizulhasni, Josiah Ng dan Rizal Tisin yang menamatkan saingan ditempat ketujuh pada pusingan pertama.
Beasley berkata banyak peningkatan yang dilakukan pasukan negara sejak memperoleh pingat perak Sukan Asia tahun lalu.
"Memang fokus kita sebelum ini adalah tentang Olimpik dan banyak latihan pengukuhan asas termasuklah aspek fizikal dilakukan pada tahun ini. Dengan kerja keras ini, pelumba kita nanti dijangka akan memiliki kekuatan yang lebih.
"Selepas ini, kita memasuki fasa program membaiki kepantasan pula menjelang ACC tidak lama lagi. Kami yakin dengan sedikit lagi penekanan aspek kepantasan, kita akan mempamer keputusan baik di Korea Selatan nanti," katanya.
Beasley berkata jika pasukan pecut negara tidak berjaya mencatatkan kemenangan pada ACC yang akan berlangsung 17 Oktober ini, dia bercadang untuk membiarkan Azizulhasni memberi tumpuan bagi acara pecut individu dan keirin.
Buat masa ini, skuad pecut negara berada di ranking ke-14 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) namun hanya lapan pasukan berada di ranking terbaik sehingga tarikh akhir Mac 2020 akan memperoleh tiket ke Tokyo. Kelayakan ke Olimpik dalam acara pecut berpasukan adalah penting kerana bakal menawarkan dua tiket automatik bagi pelumba negara menyertai acara pecut individu dan juga keirin.