X
Jumaat, 6 September 2019 | 10:29pm
PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail.
PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail.

PSM kekal positif selesai isu Syahir, Zulkifli

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kekal positif dengan peluang untuk melihat kepulangan Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak, meskipun kedua-dua tekong emas negara itu masih belum menjawab surat tunjuk sebab.

Masa kini mencemburui mereka dengan tarikh akhir menjawab surat tunjuk sebab itu berakhir pada Ahad ini selepas diberi tempoh selama 14 hari sejak 26 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail membayangkan penyelesaian positif dapat dicapai selepas mengakui Syahir ada menghubunginya baru-baru ini.

"Mereka masih punyai waktu kerana tempoh 14 hari yang diberikan kepada mereka untuk menjawab surat itu belum tamat.

"Apapun, untuk pengetahuan semua, Syahir sendiri ada menghubungi saya dan perkembangannya amat positif.

"Dua kali dia menghubungi saya termasuk semasa saya di Bangkok bagi menyaksikan pasukan beraksi dalam saingan Piala Raja Thai, tempoh hari," katanya.

BH Sukan melaporkan kedua-dua pemain itu menerima surat tunjuk sebab dengan Syahir setebal 48 muka surat manakala Zulkifli setebal 37 muka surat pada 26 Ogos lalu.

Sebagai rekod, kedua-duanya digugurkan PSM dari skuad negara penghujung Jun lalu atas alasan disiplin selain digantung sementara.

Namun mereka kemudiannya tampil menafikannya selain menjelaskan ia berpunca daripada sistem elaun kendalian badan induk sepak takraw negara itu.

Mengulas lanjut, Ahmad turut menafikan pihaknya mempunyai masalah dengan Syahir dan Zulkifli.

Berita Harian X