Isnin, 2 September 2019 | 11:08am
SAEID Mollaei (kiri) beraksi menentang atlet Belgium, Matthias Casse dalam saingan separuh akhir Kejohanan Dunia di Tokyo. - Foto AFP
SAEID Mollaei (kiri) beraksi menentang atlet Belgium, Matthias Casse dalam saingan separuh akhir Kejohanan Dunia di Tokyo. - Foto AFP

IJF bela jaguh judo Iran di Tokyo 2020

TOKYO: Jaguh judo Iran, Saeid Mollaei yang mendakwa diarahkan supaya kalah dalam saingan Kejohanan Dunia, tetap dibenarkan bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020 menggunakan bendera negara lain, umum Persekutuan Juod Antarabangsa (IJF), hari ini.

Presiden IJF, Marius Vizer memberi sokongan kepada bekas juara dunia, Mollaei, yang sebelum ini mendakwa diarahkan kalah dalam saingan di Tokyo minggu lalu semata-mata mahu mengelak melawan atlet Israel, Sagi Muki.

"Ia adalah misi untuk melindungi atlet kami, ia amat jelas,” kata Vizer.

"Kita akan lakukan yang terbaik supaya dia boleh bertanding di Sukan Olimpik. Kemudian kita akan tentukan negara mana yang patut dia wakili, banyak pilihan sebenarnya.”

Iran tidak mengiktiraf kewujudan Israel dengan larangan di pasport setiap warganya menggunakan cetakan huruf merah melarang setiap pemegangnya ‘tidak dibenarkan melawat ke wilayah Palestin yang dijajah.’

Media tempatan sebelum ini melaporkan Vizer menyatakan bahawa Mollaei memberitahunya supaya kalah kepada atlet Belgium, Matthias Casse dalam saingan separuh akhir kelas 81 kilogram di kejohanan itu.

Vizer juga memberiathu akhbar Asahi Jepun bahawa dia mahu memastikan Mollaei bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020 menggunakan bendera negara pelarian.

Mollaei melarikan diri ke Berlin untuk mencari suaka politik tetapi atlet berusia 27 tahun itu menafikannya semalam sambil mendakwa dia mahu mewakili bendera Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) ketika temasya di Tokyo nanti.

"Saya sudah memiliki visa Jerman dan saya sudah berada di Jerman untuk menafikan semua khabar angin ini,” kata Mollaei kepada siaran TV berbahasa Parsi di London.

Dalam pada itu, Vizer akan memanggil mesyuarat tergempar untuk menyiasat sama ada Mollaei dan ahli keluarganya menjadi mangsa politik atau ancaman keselamatan sebelum mengambil keputusan mengenakan tindakan ke atas Persekutuan Judo Iran.

"Ia sebahagian dari asam garam kehidupan dan juga sebahagian kejutan yang boleh berlaku,” kata Vizer.

"Tapi kami ada peraturan. Semua tindakan mestilah selaras dengan statut badan induk dan undang-undang Olimpik.

"Sesetengah negara ada pertauran mereka sendiri, mereka boleh menggunakan peraturan di negara mereka, tapi bukan ke atas acara peringkat antarabangsa,” katanya.

"Ia situasi berbeza. Kami perlu berdepan dan bertindak sewajarnya mengikut undang-undang.”

Sementara itu, ketua judo Israeli, Moshe Fonti memberitau Radio Tentera bahawa Mollaei "ada niat meneruskan perlawanan, biarpun dia terpaksa melawan Sagi Muki."

Akhbar Times of Israel pula melaporkan: "kami difahamkan... pegawai perisik Iran hadir ke rumah atlet itu di Iran dan Arena Judo Iran untuk memberi amaran kepadanya.”

Agensi Berita Fars Iran pula mendakwa Mollaei sudah merancangnya sejak awal sambil memetik kenyataan Ketua Jurulatih judo Iran, Majed Zarian yang berkata: "Semuanya sudah dirancang dari awal – seseorang di Iran terbabit membantunya.”

Kes berkenaan bukan pertama kali berlaku. Sebelum ini, seorang atlet gusti Iran, Alireza Karimi turut diarahkan kalah semata-mata mengelak berdepan atlet Israel.

Pada 2017, video jurulatih Karimi yang menjerit “Alireza kau mesti kalah, biar Israeli itu menang," menjadi tular di media sosial.

Karimi kemudian digantung enam bulan atas tindakannya itu manakala jurulatihnya dikenakan hukuman selama dua tahun. – AFP

Berita Harian X