Isnin, 8 April 2019 | 7:12pm
PELUMBA Floyd's Pro Cycling, Travis McCabe (tengah) merampas Jersi Kuning PETRONAS. - Foto Bernama
PELUMBA Floyd's Pro Cycling, Travis McCabe (tengah) merampas Jersi Kuning PETRONAS. - Foto Bernama

LTdL: Peringkat ketiga Muar-Putrajaya milik McCabe

PUTRAJAYA: Selepas dua hari mencuba, pelumba Floyd's Pro Cycling, Travis McCabe akhirnya muncul pemenang Peringkat 3 saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Muar ke Perbadanan Putrajaya, di sini, hari ini.

Lebih membanggakan McCabe turut merampas Jersi Kuning PETRONAS selaku pendahulu keseluruhan selain Jersi Hijau PETRONAS selaku Raja Pecut yang baharu.

"Ia memang perancangan kami hari ini (untuk berada di kelompok depan)," kata pelumba dari Amerika Syarikat itu yang juga pemenang di Putrajaya pada 2017.

"Hari ini penamat yang agak teknikal dan laluan yang basah dan kami mahu mengawal perlumbaan sejak 2 kilometer terakhir."

McCabe menjelaskan pada 1km terakhir pasukannya memiliki jurang 15 saat berbanding pelumba lain dan pada 500 meter terakhir dia memecut laju apabila merasakan dia juga boleh merampas Jersi Kuning.

Saingan esok bagaimanapun dilihat sukar buat McCabe mengekalkan jersi miliknya di laluan pendakian sukar ke Genting Highlands.

"Esok memang sukar, tapi kami datang untuk menang dan itulah yang akan cuba kami lakukan.

"Laluan ke Genting esok adalah untuk Keegan Swirbul dan peranan saya akan berubah, lebih kepada domestik dan mengawal perlumbaan hingga ke pendakian sebenar," katanya.

Pemegang Jersi Merah selaku Raja Bukit sejak peringkat pertama, Angus Lyons turut mengakui dia tidak mungkin akan mempertahankan jersi berkenaan esok kerana peranan utama akan diambil alih oleh Brendon Davids.

"Esok pendakian yang amat sukar, saya sudah melalui peringkat awal yang bukannya mudah.

"Ada ramai lagi pakar pendaki menyimpan kekuatan untuk esok. Jadi saya akan bekerja untuk Brendon selain kami juga ada beberapa lagi muslihat," kataya.

KEPUTUSAN:

1. Travis McCabe (Floyd's Pro Cycling) 4:49:39

2. Matteo Pelucchi (Androni Giocattoli - Sidermac) +00:02s

3. Andrea Guardini (Bardiani CSF) +00:02s

4. Mohd Harrif Saleh (Terengganu Cycling Team) +00:02s

5. Kazushige Kuboki (Pasukan Kebangsaan Jepun) +00:02s.

Berita Harian X