Selasa, 2 April 2019 | 6:46pm
Gambar fail, Jonathan Monsalve memenangi perlumbaan Le Tour de Langkawi 2012. - Foto cyclingnews.com
Gambar fail, Jonathan Monsalve memenangi perlumbaan Le Tour de Langkawi 2012. - Foto cyclingnews.com

Cabaran getir nanti Androni LTdL 2019

KUALA LUMPUR: Pasukan benua profesional Itali, Androni Giacatolli-Sidermec yang berada di ranking 23 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mendahului senarai 22 pasukan beraksi di perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang bermula, Sabtu ini.

Androni mencipta nama sebagai antara pasukan yang paling berjaya di LTdL apabila memperoleh jersi kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan sebanyak tujuh kali menerusi Hernan Dario Munoz pada 2002, Fredy Gonzalez (2004), Ruslan Ivanov (2008), Jose Serpa (2009 dan 2012), Jose Rujano (2010) dan terakhir Jonathan Monsalve (2012).

Pasukan itu juga memenangi gelaran pasukan terbaik keseluruhan tahun 2003, 2006, 2008, 2009 dan 2012, selain dua gelaran Raja Pecut menerusi Alberto Loddo (2007) dan Mattia Gavazzi (2009). 

Namun selepas 2012, Androni agak tenggelam dengan hanya dua kemenangan peringkat menerusi Kenny Van Hummel (2014) dan terakhir Manuel Belletti di Muar pada tahun lalu.

Penganjur LTdL 2019, Human Voyage Sdn Bhd dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca panas bakal menjadi cabaran besar buat pelumba dari Oceania, Amerika Latin dan juga Eropah selain peringkat pendakian berstatus ‘hors’ ke Genting Highlands bakal menanti mereka.

Pada edisi kali ini, perebutan jersi kuning dan raja bukit dijangka lebih sengit buat juara bertahan, Artem Ovechkin dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG).

Ia berikutan kehadiran pelumba kelahiran Colombia, Alvaro Duarte yang menduduki tangga ke-9 keseluruhan ketika bersama Forca Amskins Racing dan kini tampil semula dengan pasukan benua baru, Brunei Continental Team, pelumba Floyd's Racing dari Australia, Jonathan Clarke yang baru menyarung jersi kuning Tour de Taiwan 2019 dua minggu lalu.

Pasukan baru dari Jepun, UKYO juga dilihat mampu menyinar menerusi pelumba kelahiran Belanda, Raymond Kreder - pemenang jersi kuning dan raja pecut Tour of Tochigi di Jepun, minggu lalu yang akan dibantu rakan sepasukan dari Australia yang pernah menyarung jersi Isowhey dan menduduki tangga ke-13 keseluruhan LTdL 2017, Robbie Hucker.

Seorang lagi yang disebut-sebut mampu memberi saingan dalam pendakian ke Genting Highlands pada Peringkat 4 LTdL 2019 nanti adalah pelumba Colombia yang mewakili Interpro Cycling Academy, Hernan Aguirre yang muncul juara di Qinghai Lake 2018 dan terbaru keempat keseluruhan di Tour of Rwanda, awal Mac lalu.

Edisi ke-24 LTdL pada Sabtu ini akan bermula di perkarangan KLCC dan melalui jarak keseluruhan 1,234 kilometer sebelum berakhir di Dataran Lang, Langkawi pada 13 April nanti.

Senarai 22 pasukan LTdL 2019:

• VINO-ASTANA MOTORS (Kazakhstan) 

• MICHELTON BIKE EXCHANGE (China)

• BARDIANI CSF (Itali)

• ANDRONI GIOCATTOLI-SIDERMEC (Itali)

• GAZPROM RUSVELO (Russia)

• NERI SOTTOLI SELLE ITALIA KTM (Itali)

• TERENGGANU INC. TSG CYCLING TEAM (Malaysia)

• TEAM SAPURA CYCLING (Malaysia)

• CUSTOM CYCLING INDONESIA (CCI) TEAM (Indonesia)

• KSPO BIANCHI ASIA PRO CYCLING TEAM (Korea)

• GIANT CYCLING TEAM (China)

• FLOYD’S PRO CYCLING (Kanada)

• PRO RACING SUNSHINE COAST (Australia)

• ST GEORGE CONTINENTAL CYCLING TEAM (Australia)

• INTERPRO CYCLING ACADEMY (Jepun)

• TEAM UKYO (Jepun)

• OLIVER’S REAL FOOD RACING (Australia)

• PROTOUCH (Afrika Selatan)

• BRUNEI CONTINENTAL CYCLING TEAM (Brunei)

• SHENZEN XIDESHENG  CYCLING TEAM (China)

• PASUKAN KEBANGSAAN MALAYSIA

• PASUKAN KEBANGSAAN JEPUN

Berita Harian X