Rabu, 20 March 2019 | 9:36pm
Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Jasni Shafie (tengah) bergambar bersama trofi yang dipertandingkan untuk Anugerah SAM 100 Plus 2018, hari ini.Turut hadir Pengerusi Jawantankuasa Anugerah SAM 100 Plus 2018, Norismadi Abd Mnap (kanan), Naib Presiden SAM, Izahar Atan (dua, kanan), Pengurus Pengaktifan dan Penajaan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Engku Isyamuddin Tuan Losin (dua, kiri) dan Konsultan F&N Beverages Marketing Datuk Kamal Harun (kiri). - Foto BERNAMA
Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Jasni Shafie (tengah) bergambar bersama trofi yang dipertandingkan untuk Anugerah SAM 100 Plus 2018, hari ini.Turut hadir Pengerusi Jawantankuasa Anugerah SAM 100 Plus 2018, Norismadi Abd Mnap (kanan), Naib Presiden SAM, Izahar Atan (dua, kanan), Pengurus Pengaktifan dan Penajaan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Engku Isyamuddin Tuan Losin (dua, kiri) dan Konsultan F&N Beverages Marketing Datuk Kamal Harun (kiri). - Foto BERNAMA

Jaguh dunia dominasi calon Anugerah SAM-100PLUS 2018

PETALING JAYA: Jaguh dunia mendominasi senarai pencalonan merebut Anugerah Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2018.

Calon untuk kategori berkenaan ialah jaguh berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang; gandingan ratu terjun Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong; Muhd Rafiq Ismail (tenpin boling); Amy Kwan Dict Weng (gimrama) dan Mohamad Hazim Amzad (silat).

Sementara bagi calon Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik SAM pula, terdiri daripada Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi daripada sukan olahraga serta atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin.

Majlis dijadual pada 10 April ini turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar untuk berangkat hadir ke majlis berkenaan.

Turut dijangka hadir pada majlis bersempena sambutan ulang tahun ke-50 SAM yang ditubuhkan pada 21 Februari 1969 itu ialah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Sempena sambutan ulang tahun ke-50 ini, SAM akan memberi Anugerah Khas Sepanjang Hayat kepada Penaung Diraja SAM, Sultan Ahmad Shah di atas sumbangan baginda kepada arena sukan negara, khususnya bola sepak," kata Presiden SAM Jasni Shafie pada sidang media Anugerah SAM-100Plus 2018 di sini, hari ini.

Menurut Jasni, selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang meraih kejayaan cemerlang sepanjang 2018, majlis anugerah berkenaan juga memberi penghargaan khusus kepada penggiat media sukan di negara ini.

Untuk Anugerah Kewartawanan Sukan, penggiat media sukan berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah lebih RM50,000.

Ia dibahagikan kepada enam kategori - Laporan Berita Terbaik (Media Cetak); Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik); Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak); Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik); Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Anugerah SAM-100Plus 2018, Ismadi Abdul Manaf berkata pihak penganjur menerima lebih 200 penyertaan untuk semua kategori yang dipertandingkan.

"Penyertaan kali ini lebih seimbang, ada wakil daripada semua agensi media yang menghantar penyertaan dalam setiap kategori. Untuk tahun ini juga, kita dapati ada beberapa penyertaan daripada muka baharu dan ini sesuatu yang baik," katanya.

Dalam pada itu, peminat sukan tanah air berpeluang mengundi atlet kegemaran masing-masing menerusi pemilihan Anugerah Khas Penyokong 100Plus, yang dilaksana dengan kerjasama rakan strategik SAM, 100Plus, dengan 15 calon disenaraikan, membabitkan atlet individu serta berpasukan.

Peminat boleh mengundi calon pilihan masing-masing bermula hari ini, di laman Facebook 100Plus, www.facebook.com/my100plus/. - Bernama

Berita Harian X