Ahad, 24 Februari 2019 | 10:28pm
Azizulhasni berharap masalah jangkitan virus seperti dihadapinya tahun lalu tidak akan berulang. - Arkib NSTP
Azizulhasni berharap masalah jangkitan virus seperti dihadapinya tahun lalu tidak akan berulang. - Arkib NSTP

Azizulhasni harap malang tidak berulang di Poland

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal kebangsaan, Azizulhasni Awang berharap masalah jangkitan virus seperti dihadapinya tahun lalu tidak akan berulang pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI di Poland, mulai 28 Mac ini.

The Pocket Rocketman gagal mempertahankan gelaran juara dunia dalam acara keirin pada kejohanan sama di Apleldorn, Belanda pada Mac tahun lalu akibat terkena jangkitan virus hingga menyebabkan dia demam dan batuk teruk sehingga menjejaskan kayuhannya.

Pada kejohanan dunia di Poland ini, Azizulhasni menjangkakan menghadapi saingan sengit dalam ketiga-tiga acara disertainya iaitu keirin, pecut individu dan berpasukan.

"Buat masa ini kami sasar untuk berada dalam kelompok lapan terbaik dalam acara pecut berpasukan selain cuba sebaik mungkin memecahkan rekod kebangsaan kami cipta (Azizulhasni bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis) sebelum ini.

"Kami tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi kerana semua pasukan sama kuat dan tiada trio yang benar-benar mendominasi pelumbaan, sebelum ini. Bagaimanapun, untuk acara keirin saya meletakkan sasaran peribadi untuk mara ke final.

“Jika berjaya berbuat demikian barulah kita fikirkan strategi untuk menang podium kerana persaingan daripada pelumba lain pasti sengit," katanya.

Sebagai rekod, Azizulhasni, Shah Firdaus dan Fadhil mencatat rekod baharu kebangsaan dan Asia selepas melakar masa 43.934s di Sukan Asia Jakarta 2018, untuk memadam rekod terdahulu iaitu 44.406s yang dicipta pasukan China pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Catatan masa itu turut memadam rekod kebangsaan 44.752s yang dicipta beliau bersama-sama Mohd Rizal Tisin dan Josiah Ng pada Sukan Olimpik Beijing 2008.

Azizulhasni berkata beliau memang sudah menjangkakan saingan di kejohanan dunia kali ini akan menjadi sengit kerana semua pelumba mahu mengumpulkan sebanyak mungkin mata untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berita Harian X