Khamis, 10 Januari 2019 | 5:07pm
PERDANA MENTERI, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Bangunan Perdana Putra Putrajaya hari ini. Foto BERNAMA
PERDANA MENTERI, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Bangunan Perdana Putra Putrajaya hari ini. Foto BERNAMA

Malaysia kekal pendirian tak benar atlet Israel bertanding

PUTRAJAYA: Kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan, maka ia adalah satu kesalahan.

"Kita tetap tidak benar... Kalau mereka mai (datang) juga ia adalah satu kesalahan.

"Jika mereka mahu menarik semula hak penganjuran kejohanan itu dari Malaysia sekali pun, mereka boleh berbuat demikian," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) 1/2019 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Malaysia yang tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan itu yang mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.

Ini memandangkan kejohanan itu penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) selaku penganjur kejohanan berkenaan turut dilaporkan berdepan situasi ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’ ekoran larangan terhadap atlet Israel daripada menyertai pertandingan itu.

Semalam Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, Malaysia tidak akan membenarkan atlet Israel memasuki negara ini bagi menyertai kejohanan itu.

Beliau berkata, ini disebabkan Malaysia mempunyai dasar luar negara yang amat jelas terhadap Israel.

"Justeru, kerajaan akan tetap mengambil pendirian yang paling tegas dalam isu ini sebagai membantah pendudukan dan penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin," katanya.

Berita Harian X