Ahad, 23 Disember 2018 | 4:23pm
PELUMBA trek, Shah Firdaus Sahrom. - Foto Eizairi Shamsudin
PELUMBA trek, Shah Firdaus Sahrom. - Foto Eizairi Shamsudin

Shah Firdaus optimis

Kuala Lumpur: Pelumba trek, Shah Firdaus Sahrom melaungkan keyakinan trio pecut negara menempah tiket ke Olimpik Tokyo bagi mencerahkan peluang Malaysia meraih pingat pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Percaturan ketua jurulatih negara, John Beasley adalah bagi membolehkan trio negara yang diketuai Azizulhasni Awang layak secara merit ke Tokyo sekali gus secara automatik membolehkan dua orang wakil negara beraksi dalam acara keirin dan pecut individu.

Secara tidak langsung ia membuka peluang lebih cerah kepada pelumba negara menaiki podium terutama dalam keirin selepas Azizulhasni meraih gangsa di Olimpik Rio walaupun turun selaku wakil tunggal acara itu.

"Sudah pasti kami akan bekerja keras dan kami masih mempunyai masa untuk memburu tiket acara pecut berpasukan. Musim ini mungkin ada sedikit kekurangan dari segi prestasi kerana kami baru bermula selepas berakhir Sukan Asia pada Ogos lalu.

"Malah prestasi pasukan Asia yang lain tidak banyak berbeza. Saya percaya kami akan kembali kompetitif dalam siri Piala Dunia 2019/2020 dengan misi memburu kedudukan tempat kelapan terbaik setiap kejohanan bagi meraih mata.

"Malah tumpuan turut terarah kepada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) dan Kejohanan Dunia bermula bulan depan kerana menawarkan mata berganda," jelas pelumba kelahiran Johor itu.

Malaysia kini berada di kedudukan ke-21 dengan 307 mata untuk ranking kelayakan Olimpik dengan lapan pasukan terbaik akan meraih tiket ke Tokyo.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi diri sendiri kerana terdapat peningkatan dalam catatan masa. Setiap siri Piala Dunia ada peningkatan, jadi boleh dikatakan saya kini dalam proses mendapatkan kembali rentak," kata pemenang perak Sukan Asia 2018 itu.

Berita Harian X