Isnin, 10 Disember 2018 | 6:16pm
KETUA jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley. - Arkib NSTP
KETUA jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley. - Arkib NSTP

Pelumba trek mampu cipta kejutan di London

 

KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi pelbagai dugaan, halangan dan prestasi tidak menentu di tiga Kejohanan Berbasikal Piala Trek Dunia 2018, skuad negara dijangka kembali di landasan sebenar pada siri keempat di kota London, mulai 14 hingga 16 Disember ini

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley, berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan prestasi pelumba kebangsaan yang mula menunjukkan peningkatan selepas beraksi di tiga Piala Trek Dunia bermula di Perancis, Kanada dan Jerman, awal bulan ini.

Malah, Azizulhasni Awang mencipta kejutan apabila menang gangsa dalam acara keirin biarpun bekas juara dunia itu menghadapi isu penurunan berat badan sebanyak 2 kilogram (kg) manakala Shah Firdaus Sahrom (5kg) kerana sukar mendapatkan makanan halal dan seimbang ketika beraksi sebelum ini. 

"Justeru, saya berharap Azizulhasni dan rakan sepasukannya yang lain akan terus menunjukkan prestasi lebih baik dan mencipta kejutan apabila mereka beraksi di London hujung minggu ini biarpun kita tidak meletakkan sebarang sasaran rasmi.

"Saya percaya pretasi pelumba Malaysia di London akan bertambah baik berbanding di Perancis, Kanada dan Jerman berikutan kita sudah memulakan sesi latihan bagi meningkatkan teknik kayuhan dan kelajuan sejak lebih seminggu lalu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Beasley mengesahkan bahawa semua pelumba kebangsaan kini berada di landasan betul untuk menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia 2019 (Januari) dan Kejohanan Dunia, Mac depan.

"Saya berharap pretasi mereka akan terus meningkat di Kejohanan Lumba Basikal Asia dan Dunia 2019 nanti kerana kedua-duanya menjanjikan mata berganda untuk membantu pelumba Malaysia mendapatkan slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Beasley enggan meletakkan sasaran tinggi kepada skuad negara yang bakal menyertai enam siri perlumbaan Piala Trek Dunia di Eropah bermula di Perancis Oktober lalu

Bagaimanapun, Beasley tetap berharap barisan lima pelumba negara diketuai Azizulhasni dan Fatehah Mustapa dapat meningkatkan prestasi ke tahap optimum bagi mengumpul  mata bagi berada dalam kelompok lapan terbaik bagi layak ke Kejohanan Trek Dunia dan Asia tahun depan.

Tiga lagi pelumba turut disenaraikan ke kejohanan itu ialah Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Farina Shawati Mohd Adnan.

Berita Harian X