Rabu, 31 Oktober 2018 | 1:12pm
PELUMBA basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang. - Arkib NSTP
PELUMBA basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang. - Arkib NSTP

Nantikan kebangkitan Azizulhasni di Berlin!

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang percaya prestasinya akan kembali ke tahap terbaik apabila turun beraksi di siri ketiga Kejohanan Trek Piala Dunia di Berlin, Jerman, akhir bulan depan.

Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman akan beraksi dalam tiga acara – keirin, pecut individu dan berpasukan – bersama dua lagi pelumba, Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis.

Sehubungan itu, Azizulhasni akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh empat minggu sebelum kejohanan itu untuk menjalani latihan intensif, memperbaiki corak kayuhan dan meningkat prestasinya ke tahap optimum.

"Biarpun gagal meraih podium, saya tetap gembira dengan prestasi di dua siri awal di Perancis dan Kanada kerana kami baru saja kembali berlatih selepas Sukan Asia 2018.

"Walaupun tidak menduduki tempat teratas, misi utama kami adalah fokus terhadap Kejohanan Dunia dan Asia yang akan berlangsung awal tahun depan kerana menawarkan mata lebih banyak," katanya.

Pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu berkata matlamat utama penyertaannya dan rakan sepasukan lain sebenarnya hanyalah untuk mencari rentak, medan latihan dan mengumpulkan sebanyak mungkin untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020.

"Petanda positif prestasi saya adalah saya berjaya mencatat masa di bawah 10 saat dalam acara pecut 200 meter di kedua-kedua siri awal itu sedangkan saya belum berada di tahap terbaik. 

"Jadi saya yakin dapat meningkatkan prestasi saya dan rakan sepasukan ke tahap lebih baik menjelang kejohanan di Jerman nanti," katanya.

Siri ketiga Trek Piala Dunia akan berlangsung pada 30 November hingga 2 Disember.

Pada saingan di Milton, Kanada minggu lalu, pemenang emas acara pecut Sukan Asia 2018 itu terkandas pada pusingan awal keirin selain menduduki tempat ke-13 bagi pecut berpasukan bersama-sama Shah Firdaus dan Mohd Fadhil.

Dia juga menduduki tempat ke-21 dalam pusingan kelayakan pecut individu dengan catatan 9.965 saat manakala rakan sepasukan, Shah Firdaus, 10.132s.   

Berita Harian X