Khamis, 25 Oktober 2018 | 7:08pm
PANDELELA Rinong Pamg - Foto OWEE AH CHUN
PANDELELA Rinong Pamg - Foto OWEE AH CHUN

Pandelela 'cuti' hingga hujung tahun

KUALA LUMPUR: Susulan kecederaan belakang pada Sukan Asia di Jakarta Ogos lalu, penerjun negara Pandelela Rinong Pamg menjelaskan keadaan dirinya semakin pulih namun tidak akan menyertai sebarang kejohanan pada baki tahun ini.

"Jika diikutkan sekarang kecederaan saya semakin baik dan tidak ada masalah jika saya mahu sertai kejohanan pada tahun depan. 

"Bagi saya untuk tahun ini sasaran saya semua sudah diperoleh dan kini akan bersedia bagi memperbaiki prestasi pada tahun depan," katanya.

Di Jakarta, Olahragawati Kebangsaan 2015 itu menarik diri dalam acara 10 meter platform seirama wanita dan selepas itu terpaksa menarik diri sekali lagi ketika final 10m platform individu wanita biarpun sudah melepasi pusingan kelayakan.

Pandelela, 25, berkata dia juga tidak akan menyertai tiga lagi siri Grand Prix Terjun FINA yang akan berlangsung bulan depan.

GP Terjun akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 9-11 November ini sebelum saingan diteruskan di Gold Coast, Australia (15-18) dan berakhir di Singapura (23-25).

Saingan tahun depan akan bermula dengan GP Terjun pertama akan berlangsung pada Februari dan Siri Terjun Dunia pula akan bermula pada Mac. 

Siri Terjun Dunia pada April lalu menyaksikan Pandelela yang bergandingan dengan Cheong Jun Hoong merangkul pingat emas buat negara untuk julung kalinya dan gandingan itu turut menghadiahkan emas di Sukan Komanwel Gold Coast.

Berita Harian X