Selasa, 16 Oktober 2018 | 6:31pm
Atlet berbasikal Negara, Azizulhasni Awang. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Atlet berbasikal Negara, Azizulhasni Awang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Azizul cari jalan layak basikal dunia dan Asia

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang enggan pasang impian terlalu tinggi ketika beraksi dalam acara keirin, pecut dan berpasukan di Kejohanan Piala Trek Dunia di Velodrom Nasional de Saint-Quentin-en-Yvelines, hujung minggu ini.

Bagi Azizulhasni, kejohanan siri Piala Trek Dunia ini tidak ubah seperti tempat latihan dan medan pemanas badan untuk persiapan mengumpul mata bagi layak ke Kejohanan Trek Asia dan Dunia 2019 serta Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam menjayakan misi berkenaan The Pocket Rocketman bakal ditemani empat pelumba lain membabitkan Shah Firdaus Sahrom, Mohd Fadhil Zonis, Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd Adnan.

"Saya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan untuk meraih podium dalam penyertaan di Piala Trek Dunia hujung kerana kami baharu sahaja kembali berlatih selepas cuti panjang sempena Sukan Asia Jakarta baru-baru ini.

"Bagaimanapun, fokus utama kami adalah untuk memperbaiki aspek teknikal dan meningkatkan kembali tahap kecergasan kerana musim perlumbaan kami dengan pelumba di Eropah adalah berbeza sama sekali.

"Di sana, mereka tengah 'peak' manakala majoriti pelumba Malaysia dan Australia kini baru bermula," katanya.

Mengulas lanjut, Azizulhasni berkata jika gandingan trio kebangsaan layak secara merit bermakna Malaysia mendapat dua slot untuk menyertai acara keirin dan pecut.

Bagaimanapun, dia juga bersedia melaksanakan pelan B dengan fokus kepada acara individu keirin dan pecut jika Malaysia gagal layak secara berpasukan.

 

Berita Harian X