Selasa, 11 September 2018 | 2:32pm
ATLET wushu Melaka, Si Shin Peng berjaya mengumpul 9.48 mata untuk merangkul pingat emas pertama acara jianshu (pedang) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak ke-19 di Kolej Matrikulasi Gopeng. - Foto Muhaizan Yahya
ATLET wushu Melaka, Si Shin Peng berjaya mengumpul 9.48 mata untuk merangkul pingat emas pertama acara jianshu (pedang) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak ke-19 di Kolej Matrikulasi Gopeng. - Foto Muhaizan Yahya

Melaka dominasi hari pertama wushu

IPOH: Seperti dijangka, atlet Melaka mendominasi sukan wushu yang membuka tirainya hari ini apabila membawa pulang tiga pingat emas dan satu perak pada hari pertama edisi ke-19 Sukan Malaysia (SUKMA) di Kolej Matrikulasi Gopeng, di sini.

Atlet negeri Hang Tuah itu, Si Shin Peng muncul atlet pertama memenangi pingat emas ditawarkan pada temasya kali ini apabila mengumpul 9.48 mata dalam acara jianshu lelaki. Atlet Sarawak, Elvic Bong pula meraih perak dengan 9.40 mata sementara Afiq Danial Firdaus Chua menghadiahkan gangsa buat Terengganu dengan 9.38 mata.

“Saya gembira kerana menghasilkan pingat emas pertama buat Melaka.

“Saya pun tak sangka saya boleh menang kerana ini pencapaian terbaik saya pada SUKMA setakat ini,” kata Shin Peng yang menyertai SUKMA buat kali kedua.

Peserta berusia 16 tahun itu yang juga pelapis kebangsaan berkata, dia melakukan persiapan selama enam bulan khusus bagi persediaan ke temasya itu.

Kecemerlangan atlet wushu Melaka diteruskan menerusi Tammy Tan yang memenangi emas acara jianshu wanita dengan 9.44 mata sementara Tan Cheong Wan menjuarai acara gunshu lelaki dengan 9.58 mata.

Pingat perak jianshu wanita dimenangi Stephanie Ngu (9.40 mata) dari Sarawak diikuti Wong Kai Xian (9.34 mata) dari Perak yang membawa pulang gangsa sementara gunshu lelaki menyaksikan Danish Aizad Firdaus Chua memenangi perak (9.45 mata) dan Clement Thian dari Sarawak menghadiahkan gangsa (9.43 mata).

“Berdasarkan rekod sebelum ini, kami menetapkan sasaran menang sekurang-kurangnya lima pingat emas pada temasya kali ini.

“Menerusi persembahan atlet kami hari ini, saya jangkakan kami dapat memenuhi sasaran itu. Namun kami tetap perlu berwaspada dengan atlet Pulau Pinang, Sarawak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur yang bagus,” kata pengurus Melaka, Yong Kheng Chien.

Dua lagi pingat emas dimenangi atlet Johor, Lee Jia Rong yang memperoleh 9.43 mata dalam acara gunshu wanita manakala nandao wanita pula dimenangi Lee Hui Xian dari Sarawak dengan 9.54 mata.

Hari kedua wushu esok menyaksikan tujuh lagi pingat emas menjadi rebutan.

Berita Harian X