Sabtu, 1 September 2018 | 10:14pm
NUR Dhabitah Sabri - Foto AFP
NUR Dhabitah Sabri - Foto AFP

Dhabitah tebus kecewa semalam

JAKARTA: Nur Dhabitah Sabri membalas kekecewaan dalam acara 1 meter papan anjal semalam untuk meraih gangsa dalam acara 3m papan anjal di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Dhabitah mengutip 330.75 mata dengan emas dan perak dimenangi dua penerjun China, Shi Tiangmao dan Wan Han.

Tiangmao dan Han ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila masing-masing meraih 389.40 dan 383.40 mata.

"Saya memang mengharapkan pingat emas tapi saya sangat gementar tadi, semuanya tidak menjadi.

"Alhamdulillah pada final saya berjaya melakukannya, cuma China memang terlalu kuat," katanya.

Pada Sukan Asia kali ini Dhabitah memungut satu perak dan dua gangsa menerusi acara individu dan seirama.

Ditanya sama ada dia tertekan menjadi tonggak bagi mendapatkan pingat buat negara selepas ketiadaan Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong, Dhabitah menegaskan dia sudah melakukan yang terbaik.

"Ramai yang hendak melihat apa yang saya boleh buktikan di sini, tetapi saya sudah tunjukkan sebagai penerjun kedua saya boleh melakukannya.

"Semua penerjun negara boleh melakukannya," katanya yang turut gembira apabila mengumpul lebih daripada 300 mata.

Seorang lagi penerjun negara, Wendy Ng berkedudukan kelima apabila mengutip 304.80 mata. 

Berita Harian X