Khamis, 30 Ogos 2018 | 6:25pm
PANDELELA Rinong. - Foto Yazit Razali
PANDELELA Rinong. - Foto Yazit Razali

Pandelela tarik diri

JAKARTA: Harapan untuk Malaysia sekurang-kurangnya meraih pingat tidak kesampaian apabila penerjun negara, Pandelela Rinong menarik diri daripada acara final 10 meter platform wanita Sukan Asia 2018 malam ini selepas mengalami kecederaan belakang pada aksi kelayakan pagi tadi.

Dalam aksi kelayakan itu, Pandelela layak ke final selepas menduduki tempat keenam secara keseluruhan dengan catatan 277.40 mata.

Atlet berusia 25 tahun itu meraih perak dan gangsa pada edisi 2010 di Guangzhou dan gangsa di Incheon, empat tahun lalu.

Pengurus pasukan, Andy Gan mengesahkan perkara itu sambil menyatakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu mengadu rasa kurang selesa ketika beraksi di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, hari ini.

"Dia tidak akan beraksi di final kerana tidak mahu mendapat risiko kecederaan lama berulang," katanya.

Pandelela sudah mengalami kecederaan pada sesi latihan awal skuad terjun, Sabtu lalu namun mengambil keputusan untuk melakukan terjunan hari ini namun sekali lagi terpaksa menarik diri.

Berita Harian X