Khamis, 30 Ogos 2018 | 5:40pm
PANDELELA Rinong. - Foto EPA
PANDELELA Rinong. - Foto EPA

Pandelela terpaksa lupakan final

JAKARTA: Ratu terjun negara dan sandaran pingat pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Pandelela Rinong menarik diri daripada beraksi acara final 10 meter (m) platform individu wanita yang dijadualkan berlangsung malam ini.

Perkara itu disahkan pengurus pasukan, Andy Low selepas pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 Rio itu mengadu masih berasa tidak selesa ketika turun beraksi pada pusingan kelayakan di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno sebentar tadi.

“Dia tidak akan beraksi di final kerana enggan mengambil risiko. Kecederaannya masih belum pulih dan sebab itu keputusan menarik diri terpaksa dibuat,” katanya di sini, hari ini.

Pada pusingan kelayakan itu, Pandelela menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas mengumpul 277.40 mata.

Terdahulu, Olahragawati Kebangsaan 2015 itu turut menarik diri daripada bergandingan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama yang menyaksikan tempatnya digantikan Nur Dhabitah Sabri.

Sebagai rekod, Pandelela mengalami kecederaan belakang ketika menjalani sesi latihan, Sabtu lalu. - BERNAMA

 

Berita Harian X