Rabu, 29 Ogos 2018 | 7:41am
BARISAN pendekar negara memperkemaskan barisan supaya tidak lagi kecundang.
BARISAN pendekar negara memperkemaskan barisan supaya tidak lagi kecundang.

Silat mahu balas duka, terjun mampu hadir gembira

JAKARTA: Selepas hari suram di ibu kota Indonesia semalam, hari ini mungkin menghadirkan sinar buat kontijen negara di Sukan Asia.

Tergamam gara-gara emas dirompak kelmarin, barisan pendekar negara memperkemaskan barisan supaya tidak lagi kecundang.

Pesilat wanita akan turun ke gelanggang final dalam acara silat seni double dan berpasukan.

Walaupun dilihat sukar dengan kehadiran peserta tuan rumah, diharapkan ia bakal mencipta sesuatu yang indah.

Selain itu, harapan utama pasti kepada finalis acara lelaki Kelas J, Mohd Khaizul Yaacob dan wakil Kelas F,  Muhd Fauzi Khalid.

Mereka dijangka meraih emas apabila masing-masing akan beraksi menentang pesilat Vietnam.

Dalam acara 3 meter papan anjal seirama, penerjun wanita Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri akan sekali lagi ke Pusat Akuatik Gelora Bung Karno.

NUR Dhabitah Sabri - Foto AFP
NUR Dhabitah Sabri - Foto AFP

Dhabitah sudah meraih satu gangsa semalam dan diharapkan mampu melakukannya sekali lagi dalam acara didominasi kuasa besar acara itu, China.

Di Stadium Utama Gelora Bung Karno, barisan atlet olahraga negara akan turun dengan misi memperbaiki rekod kebangsaan masing-masing.

Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan kuartet 4x100 meter diketuai Khairul Hafiz Jantan pasti menjadi tumpuan. 

Berita Harian X