Rabu, 22 Ogos 2018 | 7:03pm
PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim. - Foto Luqman Hakim Zubir
PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim. - Foto Luqman Hakim Zubir

KOM tawar RM10,000 jika raih pingat

JAKARTA: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan memberi ganjaran RM10,000 kepada mana-mana atlet olahraga kebangsaan yang berjaya menyumbangkan pingat pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata KOM tidak kisah andai terpaksa mengeluarkan belanja sehingga RM100,000 sekali pun sekiranya ia dapat membakar semangat atlet untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan terbesar Asia itu.

“Jika ada yang berjaya memperbaharui rekod kebangsaan kami akan beri RM5,000 dan tambahan RM1,000 kerana berjaya mencipta rekod baharu. Sementara bagi yang meraih pingat emas, perak atau gangsa mereka akan memperoleh RM10,000.

"Ini adalah bukti bahawa KOM sentiasa menghargai pengorbanan atlet yang bertanding dalam Sukan Asia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Skuad olahraga kebangsaan akan memulakan misi pemburuan sekurang-kurangnya sebutir pingat tanpa mengira warna di Stadium Gelora Bung Karno pada Sabtu ini.

Pada masa sama, Karim berharap tiga atlet di bawah Program Podium iaitu jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa, Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) perlu membuktikan kemampuan yang dimiliki.

“Harapan kita sudah tentunya dalam kalangan atlet Program Podium dalam masa sama atlet lain juga harus berusaha meraih kecemerlangan dalam penyertaan kali ini," tambahnya.

Sebagai rekod, sejumlah 15 atlet olahraga negara akan membawa cabaran negara di temasya tersebut. - BERNAMA

 

 

Berita Harian X