Ahad, 19 Ogos 2018 | 9:21pm
PERTAHANAN Malaysia mengasak pemain Hong Kong, dalam Sukan Asia 2018 Jakarta Palembang di Stadium Hoki, Gelora Bung Karno (GBK). Malayisa berjaya menewaskan Hong Kong 8 - 0. - Foto Fathil Asri
PERTAHANAN Malaysia mengasak pemain Hong Kong, dalam Sukan Asia 2018 Jakarta Palembang di Stadium Hoki, Gelora Bung Karno (GBK). Malayisa berjaya menewaskan Hong Kong 8 - 0. - Foto Fathil Asri

Malaysian Tigress mudah ratah Hong Kong

JAKARTA: Skuad hoki wanita negara bermula dengan rentak positif apabila membenam cabaran Hong Kong 8-0, sebentar tadi.

Pengendalinya, Dharma Raj Abdullah melihat kemenangan berkenaan sebagai permulaan yang baik terutamanya dengan kemampuan meraih tiga mata serta jumlah jaringan yang besar.

"Fokus adalah dapatkan mata dulu walaupun mereka bermula dengan agak perlahan pada suku pertama dan kedua.

"Anda perlu faham apabila beraksi pada perlawanan pertama, perkara seperti ini sentiasa berlaku. Malah saya jangka hanya menang 4-0 saja," kata Dharma selepas perlawanan.

Beliau turut tidak gusar walaupun hanya satu daripada tujuh pukulan sudut penalti berjaya diterjemahkan kepada gol.

Terdahulu pada aksi Kumpulan B di Padang Hoki GBK, Malaysia bermula perlahan apabila meledak dua gol menerusi Nuraini Rashid pada minit ke-13 dan Nuramirah Shakirah Zulkifli (16) pada suku pertama serta kedua.

Selepas itu, Malaysia mula 'panas' apabila meledak enam gol pada suku ketiga dan keempat.

Nuraini menambah dua lagi gol pada minit ke-34 dan 57 selain Nuramirah Shakirah menambah satu lagi gol pada minit ke-33.

Tiga lagi gol diledak Hanis Nadiah Onn (31), Fazilla Sylvester Silin (49) dan Norazlin Sumantri (58).

Malaysia akan bertemu China pada perlawanan kedua Khamis ini.

Berita Harian X