Selasa, 6 March 2018 | 6:49pm
NILAI 12 FEBRUARI 2018. Jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang menjalani latihan sempena Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) pada 16 sehingga 20 Februari ini di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan. NSTP/IQMAL HAQIM ROSMANIQMAL HAQIM ROSMAN
NILAI 12 FEBRUARI 2018. Jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang menjalani latihan sempena Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) pada 16 sehingga 20 Februari ini di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan. NSTP/IQMAL HAQIM ROSMANIQMAL HAQIM ROSMAN

Azizulhasni ketuai senarai ke Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang dan pemenang emas Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC), Jupha Somnet antara pelumba yang berada dalam senarai akhir ke temasya Sukan Komanwel bulan depan.

Mereka antara 13 atlet yang tersenarai ke Gold Coast, Australia selain Shah Firdaus Sahrom, Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd Adnan yang berlatih di Melbourne sebelum ini.

Turut dalam senarai adalah trio pecut berpasukan Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Khairil Nizal Rasol dan Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin.

Barisan pelumba endurance pula diketuai Irwandie Lakasek, Eiman Firdaus Mohd Zamri, Afiq Huznie Othman, Nur Aiman Rosli dan Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee.

Berbanding senaral awal, hanya nama Anis Amira Rosidi digugurkan dengan senarai akhir sudah diserahkan kepada Majis Olimpik Malaysia (MOM) minggu lalu.

"Pengguguran Anis Amira dilakukan ketua jurulatih negara, John Beasley selepas menilai prestasinya di ACC. Jadi seramai 13 pelumba elit tersenarai," kata pengurus skuad berbasikal negara, Ramlay Ibrahim.

Katanya, mereka menaruh harapan kepada Azizulhasni atau The Pocketrocketman untuk menggegar dalam acara kegemarannya selain beberapa pelumba lain seperti Shah Firdaus.

Selain mereka, turut tersenarai adalah atlet paracycling negara, Afiq Afify Rizan bersama pelumba pembantu atau jurupandu, Muhammad Khairul Adha Rasol.

"Kita turut menaruh harapan pingat kepada gandingan acara tandem ini berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan mereka," katanya.

Pada temasya di Glasgow empat tahun lalu, skuad berbasikal yang menghantar lapan pelumba meraih sebutir gangsa dalam acara keirin menerusi Azizulhasni.

Berita Harian X