Selasa, 20 Februari 2018 | 6:51pm
JAGUH keirin dunia, Azizulhasni melakar rekod baharu Asia dalam acara pecut individu di Velodrom Nasional Nilai. - Foto Eizairi Shamsudin
JAGUH keirin dunia, Azizulhasni melakar rekod baharu Asia dalam acara pecut individu di Velodrom Nasional Nilai. - Foto Eizairi Shamsudin

Bukan terbaik namun membanggakan

NILAI: Bukan pencapaian terbaik namun persembahan dan prestasi pelumba trek negara di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 boleh disifatkan sebagai sesuatu yang membanggakan.

Bagi saingan elit yang memasuki edisi ke-38, Malaysia meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa.

Emas tunggal Malaysia hadir menerusi kejutan yang dilakukan Jupha Somnet dalam acara perlumbaan mata walaupun harapan diletakkan kepadanya tidak terlalu tinggi.

Jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang melakar rekod baharu Asia, 9.774s dalam acara pecut individu dan hampir memenangi emas namun tewas tipis kepada pelumba Jepun, Kazunari Watanabe di final selain turut menyumbang gangsa dalam keirin.

Fatehah Mustapa pula menyumbang gangsa dalam acara ujian masa 500 meter selain persembahan membanggakan Shah Firdaus Sahrom yang sudah mencapai kepantasan bawah 10 saat seperti The Pocketrocketman.

Manakala barisan pelumba elit negara yang lain terutamanya trio pecut lelaki negara - Muhammad Khairil Nizam Rasol, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin -perlu segera bangkit menjelang dua temasya besar, Sukan Komanwel dan Asia selain diharapkan menjadi penyambung legasi Malaysia di pentas antarabangsa.

Saingan junior yang memasuki edisi ke-25 melahirkan hero baru Malaysia apabila Zulhelmi Zainal meraih emas dalam acara kejar-mengejar individu.

Pelumba muda negara turut cemerlang meraih dua perak dan dua gangsa selain tiga rekod remaja kebangsaan yang baru.

Persembahan mereka menghadirkan pujian barisan kejurulatihan negara yang diketuai John Beasley yang mengharapkan ia mampu diteruskan ke peringkat elit suatu hari nanti.

Kuasa besar Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan China kekal dominan di ACC namun peningkatan yang dipamerkan India dan Thailand terutamanya di peringkat remaja wajar diberikan perhatian agar Malaysia tidak terus ketinggalan.

Bagi kategori remaja kali ini, India berjaya memenangi tiga emas manakala Thailand meraih dua emas berbanding Malaysia hanya satu emas.

Berita Harian X