X
Selasa, 19 Disember 2017 | 9:20pm
PEMAIN Selangor, Asma Fadhilah Ahmad Salam cuba mendapatkan bola daripada pemain Melaka pada Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke 39 di Stadium Juara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Syarafiq Abd Samad
PEMAIN Selangor, Asma Fadhilah Ahmad Salam cuba mendapatkan bola daripada pemain Melaka pada Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke 39 di Stadium Juara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Selangor gagal kekal rentak kemenangan

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Selangor menjadikan Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan yang disingkap tirainya di Stadium Juara, hari ini sebagai medan menguji pemain remajanya dalam persediaan ke Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak tahun depan.

"Pada kali ini kita beraksi tanpa seorang pun pemain kebangsaan, sebaliknya menurunkan ramai pemain remaja kerana kita mahu membuat pemilihan bagi SUKMA tahun depan.

"Walaupun menggunakan khidmat pemain remaja, kita yakin mampu mempertahankan kejuaraan," kata pengurus Selangor, Zaleha Sulong.

Dalam perlawanan pembukaan hari ini, Selangor bermula dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan Melaka 33-26 namun gagal mengekalkan rentak itu apabila tewas tipis kepada Terengganu 31-32.

Katanya, Selangor meletakkan sasaran meraih pingat emas pada SUKMA memandangkan negeri itu tidak pernah memenanginya dengan kali terakhir acara itu dipertandingkan pada 2013, skuad Selangor sekadar memenangi gangsa.

Sementara itu, naib juara Kuala Lumpur bermula cemerlang dengan memenangi kedua-dua perlawanan hari pertama apabila menundukkan Pahang 62-21 dan menewaskan Johor 30-21.

Berita Harian X