Jumaat, 6 Oktober 2017 | 6:03pm
PELUMBA pasukan Oliver's Real Food Racing (OLI), Brendon Davids (tengah) mengekalkan jersi kuning bersama pelumba dari pasukan TSG, Nur Amirull Fakharuddin Mazuki (tiga dari kiri) mengekalkan jersi hijau sebagai jersi raja pecut serta pelumba dari pasukan OLI, Ryan Thomas (dua dari kanan) mengekalkan jersi kelabu dan jersi merah sebagai jersi pelumba terbaik negara masih dipegang oleh pelumba dari pasukan Team Sapura Cycling, Muhammad Zawawi Azman (dua dari kiri). Jersi polka dot disandang pelumba dari pasukan TSC, Wilmar Jahir Perez Munoz (tiga dari kanan) pada peringkat keempat JM2017. - Foto Amran Hamid

Amirull di landasan tepat rangkul gelaran Raja Pecut

GURUN: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirull Fakharuddin Mazuki mengambil pendekatan berwaspada menjelang peringkat terakhir perlumbaan Jelajah Malaysia 2017 (JM2017), esok.

Amirull kini berada dalam landasan tepat memburu gelaran Raja Pecut pertama untuk dirinya selepas mengumpul 41 mata, namun kedudukan itu masih belum mampu menjamin kemenangannya.

Penyarung jersi kuning, Brendon Davids dari Oliver's Real Food Racing paling hampir dengan kedudukan Amirull namun hanya mengumpul 25 mata, diikuti Aiman Cahyadi dari Team Sapura Cycling meraih 24 mata.

"Peringkat kelima esok masih ada 30 mata bagi kategori pecut ditawarkan, jadi kedudukan saya masih belum selamat. Saya akan cuba sebaik mungkin mempertahankannya," kata Amirull yang memenangi peringkat pertama JM2017 itu.

Saingan peringkat kelima dan terakhir esok yang menawarkan mata pecutan di garisan penamat akan berlangsung sejauh 132.8 kilometer - membabitkan tiga zon pecutan di Jitra, Pokok Sena dan Menara Alor Setar.

Pada saingan pendakian hari ini, Amirull tidak 'memburu' sebarang mata pada tiga zon pecutan di Merbau Pulas, Bukit Selambau dan Gurun.

"Saya melihat kelompok lima pelumba yang melakukan pemecahan adalah pelumba yang tidak bersaing dalam kategori Raja Pecut, jadi tiada masalah," jelasnya.

Aksi peringkat akhir esok dijangka berakhir dalam kelompok besar dengan barisan pelumba pecut termasuk pemenang emas Sukan SEA 2017, Mohd Harrif Salleh dijangka menjadi tumpuan selepas tenggelam dalam empat peringkat JM2017.

Perlumbaan peringkat kelima akan bermula di Menara Alor Setar menyusuri Jitra, Wang Tepus dan Pokok Sena, disusuli pelumba akan melakukan dua pusingan 'loop' sebelum menamatkan perlumbaan di lokasi yang sama.

Berita Harian X