Selasa, 3 Oktober 2017 | 12:38am
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) LifeProFit Sdn Bhd, Noraidiazhar Sulaiman (tengah); pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh (kiri) dan pelumba pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Nik Mohd Azwan Zulkifle pada sidang media di Shah Alam. - Foto BERNAMA
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) LifeProFit Sdn Bhd, Noraidiazhar Sulaiman (tengah); pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh (kiri) dan pelumba pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Nik Mohd Azwan Zulkifle pada sidang media di Shah Alam. - Foto BERNAMA

Ketiadaan Pishgaman, KSPO buka peluang pasukan tempatan

SHAH ALAM: Peluang pelumba tempatan untuk menyerlah di Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) makin terbuka apabila juara bertahan dari Iran, Pishgaman Cycling Team sah menarik diri.

Perkembangan berkenaan dimaklumkan oleh penganjur perlumbaan, LifeProFit Sdn Bhd dengan pasukan dari Korea Selatan, KSPO yang dibarisi juara kategori pecut edisi 2016, Park Sung Baek turut mengesahkan tidak akan bersaing kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LifeProFit Sdn Bhd, Noraidiazhar Sulaiman berkata kelab dari Iran yang mendominasi edisi 2016 dengan memenangi kategori individu keseluruhan dan bukit itu, mengalami masalah penerbangan manakala KSPO bertanding di perlumbaan lain dengan pihaknya dimaklumkan minggu lalu.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh bagaimanapun melihat ketiadaan dua pasukan berkenaan secara positif terutamanya kepada pelumba tempatan.

"Ketiadaan mereka akan dirasai namun peluang kepada pelumba tempatan untuk meraih kemenangan kini lebih baik. Peluang kini terbuka untuk pasukan lain lakar kejutan.

"Saya sendiri akan cuba memastikan mampu menjuarai kategori pecut selepas berada di kedudukan kedua tahun lalu.

"Namun saya turut perlu berwaspada terhadap pasukan lain seperti Oliver's Real Food Racing dari Australia. Mereka sebuah pasukan yang bagus dan ternama di sana," katanya pada sidang media di sini.

Selain TSG, pasukan tempatan yang menggalas cabaran negara pada edisi ke-53 adalah Team Sapura Cycling (TSC), skuad kebangsaan serta tujuh pasukan berstatus kelab.

Pasukan ternama lain adalah seperti Aisan Racing Team (Jepun), 7 Eleven Roadbike Philippines (Filipina) dan KFC Cycling Team (Indonesia).

Edisi ke-53 perlumbaan pada tahun ini membabitkan 18 pasukan bakal mempertandingkan lima peringkat bermula di Shah Alam, Selangor esok merentasi Perak serta berakhir di Kedah pada Sabtu sejauh 679.9 kilometer.

Perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia itu dijangka memberikan saingan sengit apabila akan melakukan pendakian pada ketinggian 1217 meter (berstatus hors) menuju ke puncak Gunung Jerai pada peringkat keempat.

Berita Harian X