Jumaat, 8 September 2017 | 8:44pm
PENGERUSI Jawatankuasa Penganjur JM2017, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif JM2017, Noraidiazhar Sulaiman pada sidang media Jelajah Malaysia 2017 di Bangunan Trilion, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PENGERUSI Jawatankuasa Penganjur JM2017, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif JM2017, Noraidiazhar Sulaiman pada sidang media Jelajah Malaysia 2017 di Bangunan Trilion, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Gunung Jerai laluan baharu JM2017

KUALA LUMPUR: Edisi ke-53 perlumbaan berbasikal Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) pada 3 hingga 7 Oktober depan bakal memperkenalkan zon pendakian baharu berstatus hors di Gunung Jerai, Kedah.

Gunung Jerai setinggi 1,217 meter bakal menjadi ujian getir buat pelumba pendakian di peringkat keempat yang bermula di Kulim dan berakhir di puncak gunung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur JM2017, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata laluan baharu itu adalah paling mencabar untuk pelumba daripada 20 pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan tahun ini.

Pada perlumbaan lima peringkat itu, selain Gunung Jerai, dua lagi destinasi baharu di Perak diperkenalkan iaitu Hutan Melintang dan Kuala Kurau, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, JM2017 membabitkan jarak keseluruhan 679.9km melalui tiga negeri iaitu Selangor, Perak dan Kedah.

Katanya, pendatang baharu, Oliver's Real Food dari Australia adalah antara 10 pasukan benua yang akan berentap bersama-sama dengan dua pasukan kebangsaan iaitu tuan rumah, Malaysia dan Brunei.

Selain Oliver's, pasukan benua lain ialah juara bertahan, Pishgaman Cycling Team (Iran), Aisan Racing Team (Jepun), Thailand Continental, 7Eleven (Filipina), KFC (Indonesia), KSPO (Korea Selatan), Infinite Ais (Singapura), Terengganu Cycling Team (TSG) serta Team Sapura dari Malaysia.

Lapan pasukan negeri atau kelab adalah Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan CCN Cycling Team.

Dalam pada itu, Mohd Nazifuddin memberi jaminan perlumbaan yang membabitkan kos keseluruhan RM4.5 juta itu tidak akan dihantui masalah kewangan seperti penganjuran yang diuruskan pihak lain sebelum ini.

Perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia itu kini di bawah pengurusan baharu, LifeProFit Sdn Bh, membabitkan lima peringkat bermula dari Shah Alam dan berakhir di Alor Setar. - BERNAMA

Info:

Laluan Jelajah Malaysia 2017:

Peringkat 1: Shah Alam ke Hutan Melintang

Peringkat 2: Lumut ke Kuala Kurau

Peringkat 3: Kuala Kangsar ke Kulim

Peringkat 4: Kulim ke Gunung Jerai

Peringkat 5: Alor Setar

Berita Harian X