Isnin, 4 September 2017 | 9:55pm
MUHAMMAD Shah Firdaus Sharom (kiri) meraih pingat Perak acara ujian masa lelaki 1 km pada Sukan Sea KL2017 di Veledrom Nasional Nilai, baru-baru ini. - Foto Hazreen Mohamad
MUHAMMAD Shah Firdaus Sharom (kiri) meraih pingat Perak acara ujian masa lelaki 1 km pada Sukan Sea KL2017 di Veledrom Nasional Nilai, baru-baru ini. - Foto Hazreen Mohamad

Shah mahu fokus 1km ujian masa

KUALA LUMPUR: Pelumba berbakat Muhammad Shah Firdaus Sahrom mensasarkan acara 1km ujian masa di Sukan Komanwel Gold Coast tahun depan, selepas persembahan positif di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), baru-baru ini.

Shah yang memberi tumpuan terhadap acara keirin dan pecut sebelum ini, berkata dia terkejut dengan catatan yang dilakukannya dalam laluan memenangi pingat perak dalam acara itu.

"KL2017 adalah kali pertama saya berlumba di dalam velodrom tertutup dan saya tidak menjangkakan apa-apa," katanya ketika ditemui pada sidang media Yayasan Sime Darby Road To Tokyo, hari ini.

AKSI pelumba basikal negara Azizul Hasni Awang (kiri) bersaing dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom pada acara pecut individu lelaki akhir pada Sukan Sea KL2017 di Veledrom Nasional Nilai, baru-baru ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman
AKSI pelumba basikal negara Azizul Hasni Awang (kiri) bersaing dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom pada acara pecut individu lelaki akhir pada Sukan Sea KL2017 di Veledrom Nasional Nilai, baru-baru ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Saya hanya mula berlatih bagi acara ujian masa ini kira-kira dua bulan sebelum pertandingan dan banyak yang perlu saya pelajari dari aspek teknikal. Saya melakukan beberapa kesilapan kerana kurang pengalaman.

"Saya bermula agak perlahan pada pusingan pertama dan bergelut untuk mengejar masa pada baki pusingan. Namun saya masih mampu mencecah 1 minit 02.356 saat dan saya gembira dengan masa itu.

"Ada banyak ruang yang boleh diperbaiki, saya hanya perlu terus berlatih dan menimba lebih pengalaman.

"Ada satu tempat kosong bagi acara 1km ujian masa di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) tahun depan dan saya akan merebutnya, selain mewakili Malaysia dalam acara itu di Sukan Komanwel, yang memperuntukkan dua tempat."

Shah menduduki tempat kedua, di belakang Muhammad Fadhil Mohd Zonis (1:1.889s) yang memberi tumpuan terhadap acara itu lebih lama pada KL2017 lalu.

Catatan masa kedua-dua pelumba muda negara itu hanya sedikit perlahan berbanding rekod kebangsaan 1:01:658s yang dilakukan Rizal Tisin pada Kejohanan Trek Dunia 2009 di Pruzskow, Poland.

Shah juga disebut-sebut sebagai pengganti kepada Azizulhasni Awang. Namun dia menegaskan dia perlu lebih banyak masa untuk berada dalam kelas juara dunia keirin itu.

Pelumba kelahiran Johor itu sudahpun mula mengetuk pintu pentas dunia apabila memenangi pingat gangsa dalam acara keirin dalam siri Piala Dunia di Los Angeles, Februari lalu.

"Bukan sekadar mengisi tempat Azizulhasni sahaja, sebagai pelumba kebangsaan adalah menjadi tanggungjawab saya memberikan yang terbaik dan membuatkan negara berbangga.

"Buat masa ini, ada terlalu banyak yang perlu saya pelajari. Saya percaya dalam sukan berbasikal, pengalaman lebih penting berbanding bakat semata-mata," katanya.

Pelumba tajaan Yayasan Sime Darby Farina Shawati Adnan, Shariz Effendi Mohd Shahrin, Khairil Nizam Rasol, Anis Amira Rosidi, Fadhil dan Shah serta Azizulhasni dan Fatehah Mustapha adalah pelumba skuad trek yang mengungguli 11 pingat emas di KL2017.

Berita Harian X