NILAI: Pelumba trek negara Mohd Fadhil Mohd Zonis hampir memecahkan rekod kebangsaan ketika memenangi emas acara 1 kilometer ujian masa di Velodrom Nasional Malaysia, sebentar tadi.
Fadhil yang turut memenangi emas acara pecut berpasukan kelmarin, melakarkan satu minit 01.889 saat untuk mengenepikan rakan sepasukan, Shah Firdaus Sahrom yang akur dengan perak dengan masa 1:02.356s.
Rekod kebangsaan milik Mohd Rizal Tisin 1:01.658s dilakukannya ketika memenangi gangsa di Kejohanan Dunia di Pruszkow, Poland pada 2009.
"Sedikit saja lagi untuk saya memecahkan rekod Rizal. Saya akan cuba lagi, mungkin boleh dicapai di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di sini pada Februari tahun depan.
"Bagaimanapun, saya gembira kerana mampu memenangi emas terutama dengan adanya Shah Firdaus yang turut mengambil bahagian. Dia sentiasa cemerlang dalam sesi latihan yang turut menghadirkan perasaan gementar kepada saya," jelas pelumba 19 tahun itu.
Sementara itu Shah Firdaus mengakui agak terkilan apabila menamatkan saingan dengan perak selepas turut tewas kepada Azizulhasni Awang di final acara pecut individu, malam tadi.
"Semalam saya pulang agak lewat kerana ujian doping, kira-kira jam 2 pagi dan bangun pada 5 pagi. Jadi saya kurang rehat untuk menghadapi saingan hari ini.
"Lagipun, saya memberikan sepenuh tenaga ketika menentang Azizulhasni dan fikir mampu membawa saingan ke perlumbaan penentuan namun gagal," kata pemenang gangsa keirin ACC 2017 itu.
Acara 1km kilometer ujian masa boleh dianggap sebagai acara 'bidan terjun' buat Shah Firdaus yang lebih memberikan tumpuan kepada acara keirin dan pecut individu setiap kali beraksi di pentas antarabangsa.