Jumaat, 25 Ogos 2017 | 6:56pm
ATLET Pencak Silat Negara, Mohd Taqiyuddin Hamid (kanan) dan Rosli Mohd Sharif beraksi pada acara Pencak Silat Seni (Artistic) Ganda Final di Sukan SEA KL2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Zulfadhli Zulkifli
ATLET Pencak Silat Negara, Mohd Taqiyuddin Hamid (kanan) dan Rosli Mohd Sharif beraksi pada acara Pencak Silat Seni (Artistic) Ganda Final di Sukan SEA KL2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Zulfadhli Zulkifli

KL2017: Keputusan tepat tukar gelanggang silat

KUALA LUMPUR: Sambutan hangat peminat dan faktor keselamatan, menjadi penyebab utama mengapa acara pencak silat dipindahkan dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ke Stadium Juara, Bukit Kiara pada 28 dan 29 Ogos ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jawatankuasa Pengelola Malaysia KL2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong, keputusan untuk memindahkan venue dilakukan semalam dan alasannya sangat mudah - KLCC terlalu kecil untuk kapasiti penonton yang besar.

"Ia nampak ketara apabila acara ini menggunakan karpet yang besar untuk pertandingan dan pemanas badan, sekali gus memakan banyak ruang di KLCC. Selepas beberapa hari acara ini dipertandingkan, ia mendapat sambutan begitu menggalakkan, malah bukan saja silat tapi acara lain juga," katanya dalam sidang media, hari ini.

Jelasnya, perkara itu digelar sebagai 'Happy Problem' dan berlaku di beberapa gelanggang lain, termasuk bola tampar.

"Penukaran gelanggang ini sangat penting kerana silat adalah sukan tradisi dan mendapat sambutan untuk penyertaan membabitkan semua negara. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga bersetuju untuk memindahkan gelanggang bagi acara ini."

Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, mengakui bahawa pertukaran venue ini perlu dilakukan kerana bilangan penonton yang ramai datang menyaksikan acara ini.

PESILAT Negara, Nor Hamizah Hassan (kiri) dan Nur Syazreen Malik memenangi pingat emas acara pencak silat kategori seni (artistic) ganda akhir wanita Dalam Sukan Sea KL2017 di Pusat Konvension Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Khairull Azry Bidin
PESILAT Negara, Nor Hamizah Hassan (kiri) dan Nur Syazreen Malik memenangi pingat emas acara pencak silat kategori seni (artistic) ganda akhir wanita Dalam Sukan Sea KL2017 di Pusat Konvension Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Khairull Azry Bidin

"Hari pertama silat hanya ada satu kategori (ganda putera) tapi penonton dua kali ganda kapasiti yang disediakan. Menteri (Khairy Jamaluddin) juga menyaksikan sendiri ramai penonton tidak dapat masuk.

"Silat tempur bukan saja memerlukan bantuan penyokong, malah mempunyai dua ikon seperti Olahragawan dan Olahragawati negara, Al Jufferi Jamari bersama Siti Rahmah Mohamed Nasir.

"Saya juga sudah selesai mengadakan mesyuarat pengurus pasukan di mana mereka semua setuju sebulat suara untuk mengadakan acara di venue lebih besar. Mereka bersetuju kerana ada di antara penyokong Singapura dan Indonesia yang datang jauh juga tidak dapat masuk," kata Megat Zulkarnain.

katanya, perkara ini memerlukan bantuan dari pihak media untuk membuat hebahan kepada semua peminat silat kerana sebelum ini, ramai yang sudah mengetahui bahawa KLCC adalah venue pertandingan silat.

Berita Harian X