Selasa, 8 Ogos 2017 | 4:52pm
ATLET Judo Mohd Farhan Uzair (kanan), Nor Izzatul Fazila ketika sidang media program Kita Juara 2017 di Hotel Renaissance. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
ATLET Judo Mohd Farhan Uzair (kanan), Nor Izzatul Fazila ketika sidang media program Kita Juara 2017 di Hotel Renaissance. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pengalaman berguru di Mongolia tingkat keyakinan atlet judo

KUALA LUMPUR: Pengalaman 'berguru' bersama jurulatih Olimpik Mongolia, Baltulga Dashgobol nyata membantu meningkatkan keyakinan dua atlet judo negara menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Atlet bagi kategori bawah 73 kilogram (kg) lelaki, Mohd Farhan Uzair berkata pengalaman yang ditimba selama hampir dua bulan itu membuatkan kemahiran tempur dirinya kini bertambah baik sekali gus bersedia untuk bertarung pada pertandingan yang bermula 26 Ogos ini.

"Selepas menjalani latihan di sana, saya dapat rasakan banyak perubahan terutamanya dari segi kekuatan mental dan kemahiran bertempur yang diasah supaya menjadi semakin baik.

"Tambahan pula, keadaan cuaca yang sejuk di Mongolia membantu saya meningkatkan lagi stamina. Segala perubahan itu dapat saya rasakan apabila kembali berlatih bersama rakan sepasukan di Malaysia.

"Dengan segala persiapan rapi yang sudah diharungi, saya akan memberikan yang terbaik dalam usaha menamatkan kemarau pingat emas selama 36 tahun bagi acara judo selepas kali terakhir dimenangi pada edisi 1981," katanya ketika ditemui pada sidang media Program 'Kita Juara' di sini, semalam.

Bagi edisi di Kuala Lumpur, skuad judo negara membariskan tiga pemenang pingat gangsa di Singapura iaitu Mohd Farhan, Chong Wei Fu dan Nor Izzatul Fazlia dengan sasaran utama adalah melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Sementara itu, perasaan sama turut diakui Nor Izzatul yang akan bertanding dalam kategori bawah 78 kg wanita, dengan menyatakan kini sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi pada temasya itu.

"Pengalaman yang diperoleh apabila berpeluang berlatih bersama atlet judo Mongolia yang beraksi di Olimpik akan digunakan sepenuhnya ketika saya turun beraksi di atas gelanggang nanti," katanya.

Berita Harian X