Khamis, 20 Jun 2024 | 7:56pm
Pasukan Serbia di Euro 2024. FOTO/ AGENSI
Pasukan Serbia di Euro 2024. FOTO/ AGENSI

Serbia enggan beraksi susulan sorakan menghina penyokong Croatia, Albania

LONDON: Serbia mengugut untuk menarik diri daripada menyertai Euro 2024 jika Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) tidak mengenakan hukuman tegas terhadap Croatia dan Albania susulan sorakan berunsur penghinaan ketika pertembungan dua pasukan itu, semalam.

Ugutan Serbia itu hadir hanya beberapa jam sebelum aksi kedua Kumpulan C menentang Slovenia di Allianz Arena, malam ini.

Kelakuan penyokong kedua-dua pasukan lebih mencuri tumpuan berbanding perlawanan yang menyaksikan Croatia dan Albania terikat 2-2.

Penyokong kedua-dua pasukan didengari bersorak 'bunuh orang Serbia' dan insiden itu nyata tidak disenangi Persatuan Bolasepak (FA) Serbia yang menuntut tindakan keras dapat diambil oleh badan induk bola sepak Eropah itu.

Serbia juga kecewa apabila wartawan televisyen Kosovo menujukan tanda 'helang' Albania kepada penyokong mereka ketika siaran langsung perlawanan pertama mereka menentang England.

"Apa yang berlaku adalah satu skandal dan kita akan meminta UEFA untuk mengenakan sekatan walaupun kami terpaksa untuk tidak meneruskan pertandingan," kata Setiausaha Agung FA Serbia, Jovan Surbatovic.

"Kami pasti mereka akan dihukum kerana mereka sudahpun memberi maklum balas terhadap rayuan kami untuk menyingkirkan wartawan Albania dari kejohanan ini.

"Kami akan memohon UEFA untuk menghukum persekutuan bagi kedua-dua pasukan. Kami tidak mahu bertanding jika UEFA tidak menghukum mereka." -AGENSI

Berita Harian X