Rabu, 19 Jun 2024 | 8:28pm
Pemain Turkiye, Samet Akaydin memakai jersi nombor 4 tetapi menyarung seluar pendek nombor 14 milik Abdulkerim Bardacki. FOTO/AGENSI
Pemain Turkiye, Samet Akaydin memakai jersi nombor 4 tetapi menyarung seluar pendek nombor 14 milik Abdulkerim Bardacki. FOTO/AGENSI

Pemain Turkiye silap sarung seluar

LONDON: Pemain Turkiye yang memainkan watak penting untuk membantu pasukannya meraih kemenangan ke atas Georgia berdepan detik lucu apabila memakai kit yang salah.

Samet Akaydin yang mewakili Fenerbahce beraksi 90 minit ketika Turkiye menewaskan Georgia 3-1 pada aksi Euro 2024.

Bagaimanapun, mata penyokong yang tajam berjaya mengesan sesuatu yang pelik selepas pertahanan tengah itu menghalang percubaan Georgia di minit-minit akhir perlawanan.

Georgia menganggap mereka berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-95 apabila percubaan mereka terkena palang gol Turkiye dan bola jatuh di kaki salah seorang penyerang.

Percubaan penyerang mereka hampir memasuki gawang namun Akaydin menghalang percubaan itu untuk menyelamatkan pintu gol Turkiye.

Ulang tayang mendapati pertahanan itu yang memakai jersi nombor 4 sebenarnya menyarung seluar pendek dengan nombor yang berbeza.

Dia menyarung seluar pendek dengan nombor 14 yang sepatutnya menjadi milik Abdulkerim Bardacki.

Situasi itu menjadi bahan jenaka dalam kalangan penyokong dan Akaydin turut menciap 'kepada mereka yang berfikir mengenai perkara ini, saya sudah pulangkan seluar itu kepada tuannya.' -AGENSI

Berita Harian X