Rabu, 19 Jun 2024 | 12:36pm
Pemain tengah Itali, Davide Frattesi mengawal bola ketika menentang Albania pada aksi pertama peringkat kumpulan Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund pada 15 Jun lalu. – Foto AFP
Pemain tengah Itali, Davide Frattesi mengawal bola ketika menentang Albania pada aksi pertama peringkat kumpulan Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund pada 15 Jun lalu. – Foto AFP

Pemain gantian Inter sandaran Itali pertahan Euro

ISERLOHN, Jerman: Davide Frattesi akan menggalas tugas penting Itali untuk menewaskan Sepanyol pada saingan Euro 2024 selepas meraih kepercayaan pengendali Luciano Spalletti meskipun sering memainkan peranan sebagai pemain gantian di Inter Milan.

Pemain tengah, Frattesi hanya memulakan enam perlawanan Inter yang muncul juara Serie A baru-baru ini tetapi berjaya menunjukkan beberapa siri prestasi yang baik pada musim pertamanya bersama skuad kendalian Simone Inzaghi.

Pemain berusia 24 tahun itu meledak lapan gol selain menyumbat lima lagi gol dalam keluruhan 15 perlawanan disertainya bersama Inter musim lalu dan bakatnya itu dilihat hadir tepat pada waktunya untuk diterjemahkan ke peringkat antarabangsa.

Empat daripada lima gol Frattesi bersama Itali hadir selepas Spalletti mengambil alih skuad kebangsaan pada Ogos tahun lalu.

Dia dinafikan gol keenam di peringkat antarabangsa dalam penampilan ke-16 oleh tiang gol ketika Azzurri menang 2-1 ke atas Albania, yang mana dia memukau beraksi di samping bekas rakan sepasukan di Sassuolo, Gianluca Scamacca.

Pemain pertahanan Itali, Alessandro Bastoni (kiri) akan bertembung dengan penyerang Sepanyol, Lamine Yamal pada aksi kedua Euro 2024 di Arena AufSchalke, Gelsenkirchen awal pagi Jumaat ini. – Foto AFP

"Bukan mudah untuk meletakkan diri anda dalam pasukan baharu pada tahun pertama terutama sekiranya mereka baru sahaja ke final Liga Juara-Juara," kata Frattesi mengenai kekurangan penampilannya di Inter.

"Perkara paling memenatkan tahun ini adalah perjalanan. Tetapi lebih banyak anda bermain, lebih banyak masa anda di padang, jadi akan ada keadaan lebih baik untuk anda.

"Anda letih secara mental tetapi prestasi anda hadir daripada menyertai perlawanan. Saya lebih suka sekiranya ia dibezakan."

Frattesi adalah sebahagian daripada empat pemain Inter yang akan memulakan perlawanan bersama Itali pada awal pagi Jumaat ini iaitu Nicolo Barella (tengah), Federico Dimarco (pertahanan kiri) dan pertahanan tengah, Alessandro Bastoni.

"Sejak bersama selama setahun banyak membantu, kadangkala kami tidak perlu bercakap antara satu sama lain kerana ia berlaku hampir secara semulajadi," kata Frattesi.

Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma (kiri) akan bertembung dengan penyerang Sepanyol, Alvaro Morata apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi kedua Euro 2024 di Arena AufSchalke, Gelsenkirchen awal pagi Jumaat ini. – Foto AFP

"Sama juga seperti dengan Scamacca kerana ia hadir secara semulajadi, kami memahami antara satu sama lain dan tahu apa yang harus dilakukan."

Itali mempamerkan karakter positif pada aksi pembukaan menentang Albania, apabila bangkit selepas ketinggalan menerusi jaringan terpantas hanya 23 saat pada Kejohanan Eropah oleh Nedim Bajrami.

Sepanyol mendahului Kumpulan B dengan perbezaan jaringan di depan Itali, yang menyedari satu mata daripada pertembungan awal pagi Jumaat ini mungkin memadai bagi sekurang-kurangnya meraih satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik yang memastikan tempat ke pusingan kalah mati. – AFP

Berita Harian X