Selasa, 18 Jun 2024 | 12:52am
Pemain Ukraine kecewa selepas tewas kepada Romania dalam aksi sulung mereka di Euro 2024. - Foto REUTERS
Pemain Ukraine kecewa selepas tewas kepada Romania dalam aksi sulung mereka di Euro 2024. - Foto REUTERS

'Tiada siapa jangka kami akan tewas'

MUNICH: Jurulatih Ukraine, Serhiy Rebrov menyifatkan kekalahan 3-0 kepada Romania pada aksi pertama mereka di Euro 2024 sebagai keputusan yang tidak dijangka oleh sesiapa.

Dua kesilapan daripada penjaga gol, Andriy Lunin jelas mengundang padah apabila Romania mendahului menerusi kapten, Nicolae Stanciu dan Razvan Marin sebelum Denis Dragus melengkapkan kemenangan pada separuh masa kedua.

"Malangnya tiada siapa yang menjangkakan keputusan ini," kata Rebrov yang membawa Ukraine ke Kejuaraan Eropah keempat berturut-turut.

"Pemain merasakan mereka tidak melakukan tugas dengan cukup baik. Sebelum perlawanan saya memberitahu mereka bahawa kami mewakili sebuah negara besar yang kuat berjuang selama lebih dua tahun untuk kebebasan kami.

"Hari ini kami tidak melakukan yang terbaik, sebab itu mereka (pemain) meminta maaf (kepada penyokong). Kami perlu menunjukkan Ukraine yang berbeza untuk perlawanan menentang Slovakia."

Rebrov berkata pasukan itu sudah mengadakan pertemuan dengan pemain sahaja selepas perlawanan dan dia meninggalkan bilik persalinan.

"Kami semua beremosi. Semua orang tidak berpuas hati. Jika kami tidak menunjukkan prestasi maksimum... maka ia akan menjadi sangat sukar.

"Tidak kira siapa yang menjadi pilihan, bola sepak adalah mengenai apa yang anda tunjukkan pada hari ini. Hari ini kami tidak menunjukkan tahap terbaik." - AFP

Berita Harian X