Jumaat, 14 Jun 2024 | 11:25pm
Pemain Terengganu FC meraikan jaringan kemenangan pasukan ketika menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC meraikan jaringan kemenangan pasukan ketika menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI

TFC 'mandi peluh' sebelum mara ke suku akhir

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) terpaksa 'mandi peluh' sebelum mara ke suku akhir saingan Piala FA selepas menumpaskan Perak FC 2-1 pada Pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner bakal bertembung pemenang antara Sabah FC ataupun KL Rovers yang beraksi esok.

Pada perlawanan itu, skuad The Bos Gaurus terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi rembatan padu Luiz Henrique dalam kotak penalti pada minit keenam berpunca sepakan percuma kapten, Luciano Guaycochea untuk mendahului 1-0.

Selepas jaringan itu, skuad kendalian Yusri Che Lah hampir menambah jaringan kedua menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-20, namun penjaga gol Suhaimi Husin yang baharu kali pertama beraksi pada musim ini berjaya menggagalkannya.

Aksi serba tidak menjadi diperagakan pemain TFC dengan hantaran yang tidak kemas selain tiada percubaan berkualiti jelas mengecewakan lebih 20,000 peminat setia skuad Penyu yang hadir ke stadium.

Bagaimanapun pada minit ke-35, TFC dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Zamzaidi Katimin selepas Manuel Ott dijatuhkan Tommy Mawat dan sepakan diambil kapten, Safawi Rasid gagal diselamatkan penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Selepas jaringan itu, pemain skuad Penyu kian bersemangat untuk memburu jaringan kedua, namun dua percubaan menerusi pemain tengah, Marin Pilj gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Percubaan berterusan pemain skuad Penyu akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan deras Pilj dari luar kotak penalti pada minit ke-42 menerjah jaring gol untuk pasukannya mendahului 2-1 sehingga berakhir babak pertama.

Pada minit ke-70, malang buat Perak FC apabila hasil semakan video bantuan pengadil (VAR), pemain tengahnya, Muhammad Firdaus Saiyadi dilayangkan kad merah selepas menyiku kepala Safawi.

Walaupun beraksi dengan kelebihan seorang pemain, TFC gagal menambah jaringan dan kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Berita Harian X