Jumaat, 14 Jun 2024 | 11:15pm
Kapten KDA FC, Sony Morde melepasi halangan pemain Bukit Tambun FC pada perlawanan Piala FA di Stadium Darul Aman. - BERNAMA
Kapten KDA FC, Sony Morde melepasi halangan pemain Bukit Tambun FC pada perlawanan Piala FA di Stadium Darul Aman. - BERNAMA

Assifuah hadiahkan hatrik buat Kedah

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menepati ramalan apabila tidak menghadapi masalah membenam skuad Liga A1, Bukit Tambun FC (BTFC) 5-0 pada saingan pertama Piala FA di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kemenangan pada saingan kalah mati ini melayakkan skuad Sang Kenari melangkah ke suku akhir sekali gus melegakan hampir 5,500 penyokong yang hadir selepas pasukan itu terkandas pada pusingan pertama musim lalu.

Lima gol terhasil yang menyaksikan pemain KDA FC, Ebenezer Assifuah menghadiahkan hatrik buat Sang Kenari dalam penampilan pertama musim ini, selain satu gol masing-masing oleh Milos Gordic dan Amirul Hisyam.

Serangan demi serangan dilancarkan KDA FC sejak wisel permulaan dan usaha penyerang utama, Milos Gordic serta Assifuah akhirnya membuahkan hasil apabila Gordic membuka jaringan pada minit ke-15.

Selang lima minit kemudian, tuan rumah terus menceriakan penyokongnya dengan menambah gol kedua hasil percubaan pemain tengah, Amirul Hisyam.

Tuan rumah terus mengawal perlawanan dan memperoleh gol ketiga pada minit ke-39 hasil jaringan Assifuah yang menanduk cantik ke gawang selepas pemain dari Ghana itu mendapat hantaran sepakan sudut Sony Norde.

Pada babak kedua tuan rumah kembali memburu gol dan berjaya mendapatkan gol keempat menerusi gerakan lincah Assifuah dalam kotak penalti pada minit ke-68.

Kedudukan empat gol tanpa balas tuan rumah sedikit terkesan apabila pemain gantian, Aiman Afif dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain tengah BTFC, Marcus Mah.

Kesungguhan KDA FC meneruskan rentak serangan bertenaga memberi rentak bergaya apabila Assifuah mencipta gol hatriknya pada minit ke-78 selepas mendapat hantaran lintang Sukhrob Nurullaev.

Kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Berita Harian X