Jumaat, 14 Jun 2024 | 4:38pm
Kim Pan Gon memeluk Faisal pada kejohanan Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - BERNAMA
Kim Pan Gon memeluk Faisal pada kejohanan Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - BERNAMA

Pan Gon antara punca Faisal kembali bersemangat

KUALA LUMPUR: 'Rayuan' daripada pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon turut menjadi antara punca pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim bersemangat untuk terus menyarung but selepas bertarung dengan kecederaan lecur tahap empat akibat disimbah asid sulfurik.

Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 itu mendedahkan, pengendali dari Korea Selatan itu memintanya supaya tidak berhenti daripada bermain bola dalam satu pertemuan di sebuah hospital swasta, bulan lalu.

"Pan Gon ada datang bertemu saya dan dia berharap agar saya tidak berhenti bermain bola sepak. Dia meletakkan harapan yang dia tidak akan kehilangan Faisal Halim.

"Dia mahu saya kembali (ke atas padang). Dia tak nak saya jatuh dan dia tak nak saya berhenti main bola," kata Faisal.

Terdahulu, Faisal membuat kemunculan pertama di khalayak ramai dalam satu sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC (SFC), semalam.

Dalam masa sama, Faisal turut mengakui dia begitu berharap untuk kembali beraksi dalam masa terdekat meskipun ketika ini masih menjalani proses pemulihan.

"Harapan saya kalau boleh mahu kembali bermain dalam tempoh sebulan lagi. Namun, pegawai perubatan maklumkan tempoh paling awal adalah tiga bulan ke enam bulan.

"Sepanjang karier saya tidak pernah rehat lebih sebulan terutama dua tahun kebelakangan ini yang mana saya memang tidak cukup rehat kerana tugasan bersama kelab dan skuad kebangsaan.

"Saya tidak pernah mengambil cuti sakit walaupun ada ketika saya demam dan pening kepala kerana fokus dengan tugasan di atas padang," katanya.

Berita Harian X