Rabu, 12 Jun 2024 | 10:27pm
Pemain Universiti Malaysia meraikan salah satu jaringan ketika menentang PDRM FC pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Selayang malam ini. – Foto X Malaysian Football League
Pemain Universiti Malaysia meraikan salah satu jaringan ketika menentang PDRM FC pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Selayang malam ini. – Foto X Malaysian Football League

Budak U singkir PDRM dalam Piala FA

KUALA LUMPUR: Pasukan Liga A1, Universiti Malaysia mencipta kejutan apabila menumbangkan kelab Liga Super, PDRM FC 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini sekali gus mara ke suku akhir Piala FA 2024.

Kemenangan itu menyaksikan mereka menempah pertemuan sama ada dengan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada suku akhir.

Pada aksi malam ini, PDRM FC yang turun tanpa sebarang pemain import dikejutkan seawal minit keempat selepas rembatan deras Mohd Syahir Abdul Rahman menerjah gawang kawalan Asri Muhammad.

PDRM terus tersentak apabila dibolosi kali kedua hanya empat minit selepas gol pertama apabila serangan balas pantas Universiti Malaysia disudahkan Muhammad Hadi Mohamad untuk terus selesa mendahului 2-0 hanya dalam tempoh 10 minit pertama.

Pasukan polis itu bernasib baik apabila terselamat daripada ketinggalan tiga gol selepas percubaan Muhammad Hadi terkena tiang pada minit ke-16.

Bersambung babak kedua, pasukan universiti itu mengendurkan asakan apabila lebih banyak menyerap asakan PDRM yang cuba mencari gol untuk mengurangkan defisit.

Beberapa siri serangan dilancarkan PDRM dengan peluang terbaik untuk meraih gol pertama hadir pada minit ke-65 menerusi sepakan percuma Shafizi Iqmal Md Khirudin namun percubaan itu menggegar palang lawan.

Universiti Malaysia akhirnya menamatkan sisa perjuangan PDRM dengan gol ketiga pada hujung permainan menerusi jaringan Muhammad Zharif Nazhan Refli.

Berita Harian X