Isnin, 10 Jun 2024 | 2:32pm
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon pada sidang media di Wisma FAM. NSTP/GENES GULITAH
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon pada sidang media di Wisma FAM. NSTP/GENES GULITAH

Pan Gon yakin Harimau Malaya mampu menang besar

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon tetap dengan pendiriannya bahawa Harimau Malaya mampu mencipta kemenangan besar ke atas Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, malam esok.

Ia susulan pengendali Taiwan, Gary White menegaskan bahawa pasukannya tidak akan memberi laluan mudah kepada Malaysia yang memerlukan jaringan besar untuk mengintai peluang ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan maraih tiket awal ke Piala Asia 2027.

Pan Gon bagaimanapun menjelaskan bahawa mana-mana pasukan yang menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil akan berdepan tugas sukar terutama apabila terpaksa berdepan penyokong atau pemain ke-12 Harimau Malaya.

Justeru, pengendali dari Korea Selatan itu meminta penyokong dapat membanjiri stadium bagi membantu skuad negara menjayakan misi besar membelasah Taiwan.

"Sudah pasti semua jurulatih datang ke sini untuk menang, ia normal. Mereka tak boleh kata datang ke sini untuk seri atau kalah. Namun, realitinya mereka berdepan tugas sukar.

"Siapa sahaja datang ke sini tidak mudah. Pasukan lawan berdepan kesukaran di Bukit Jalil kerana kami ada penyokong, Ultras Malaya dan suasana yang hebat di sana.

"Aksi di tempat sendiri, kami ada keputusan yang bagus terutama apabila lawan pasukan ranking lebih bawah selain kami juga dapat kadar jaringan yang bagus," katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Harimau Malaya perlu mengatasi Taiwan sekurang-kurangnya lapan gol sambil mengharapkan Kyrgyzstan tewas kepada Oman di Muscat untuk melepasi kelayakan pusingan kedua.

Selain itu, Pan Gon menjelaskan pasukannya ketika ini memberi fokus untuk menjinakkan Taiwan terlebih dahulu sebelum berharap Oman mengalahkan Kyrgyzstan.

"Kami perlu menang dahulu (menentang Taiwan) dan jaringkan banyak gol, selepas itu baru kita lihat keputusan aksi Oman dan Kyrgyztsan. Saya percaya Oman pasukan lebih baik dari Kyrgyzstan, jadi mereka boleh menang di tempat sendiri," katanya.

Berita Harian X